Peratusan keluar mengundi bakal tentukan hala tuju PRN Johor

KULAI – Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali mengakui peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menjadi faktor penting yang akan menentukan peluang Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan negeri.

Beliau berkata, justeru semua pengundi perlu keluar menunaikan tanggungjawab mereka kerana kadar keluar mengundi yang tinggi mampu memberi kelebihan kepada PH.

"Kalau peratusan mengundi rendah, memang sedikit susah. Tetapi kalau tinggi, kita boleh menang lebih banyak kerusi. Sebab itu kita kena telefon anak dan cucu supaya balik mengundi kali ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam kutipan dana bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai dan DUN Senai di sebuah restoran, di sini pada malam Jumaat.

Sheikh Umar yang juga Pengarah Komunikasi PH Johor turut menggesa rakyat Johor memberi sokongan kepada gabungan itu pada PRN kali ini sebagai langkah membentuk kerajaan negeri baharu.

Menurutnya, kemenangan PH dengan jumlah kerusi mencukupi akan membolehkan sebuah kerajaan negeri yang baharu dibentuk sekali gus membawa lebih banyak pembangunan dan kemajuan kepada Johor.

Dalam pada itu, beliau mendakwa PRN Johor tidak sepatutnya diadakan memandangkan kerajaan negeri sebelum ini mempunyai majoriti dua pertiga dengan 40 kerusi DUN dan kedudukan politik yang stabil.

Katanya, penganjuran pilihan raya itu juga membabitkan kos kira-kira RM90 juta yang menurutnya boleh dijimatkan sekiranya PRN diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU).

Beliau turut mendakwa pembubaran DUN Johor dilakukan atas faktor politik, termasuk kerana kononnya terdapat pihak yang "merindui" bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sheikh Umar turut mendakwa beberapa negeri lain dijangka menyusul mengadakan pilihan raya negeri sebelum PRU diadakan dalam tempoh terdekat.

PRN Johor dijadualkan berlangsung pada 11 Julai, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun manakala pengundian awal pada 7 Julai.