KOTA KINABALU – Kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung pemberian khas 40 peratus hasil Sabah memberi gambaran bahawa kerajaan Persekutuan masih akan memfailkan rayuan sebahagian terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Nelson W. Angang berkata, kenyataan itu menunjukkan bahawa kerajaan Persekutuan berhasrat mengemukakan notis rayuan terhadap sebahagian dapatan penghakiman, dengan alasan terdapat kelemahan pada bahagian tertentu dalam keputusan tersebut.
“Namun, sekiranya Mahkamah Rayuan bersetuju dengan hujah Peguam Negara Persekutuan bahawa dapatan Hakim Mahkamah Tinggi adalah salah pada bahagian akhir penghakiman itu, besar kemungkinan keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi akan turut terjejas, memandangkan alasan dan dapatan penghakiman tersebut saling berkait antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau menjelaskan bahawa walaupun Peguam Negara menyatakan rayuan hanya akan difokuskan pada bahagian tertentu, implikasi undang-undangnya tetap besar.
“Sekiranya Mahkamah Rayuan menerima hujah tersebut, ia boleh menyebabkan keseluruhan penghakiman Mahkamah Tinggi tidak selamat dan boleh diketepikan. Ini secara langsung akan menjejaskan dapatan bahawa Sabah berhak mendapat pemberian khas 40 peratus hasil, sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.”
Terdahulu, AGC dalam kenyataan memaklumkan bahawa kerajaan Persekutuan tidak akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengenai pemberian khas 40 peratus hasil dan akan memulakan rundingan segera bersama Kerajaan Negeri Sabah.
Bagaimanapun, dalam kenyataan sama, AGC turut memaklumkan bahawa nasihat undang-undang telah diberikan kepada Jemaah Menteri berkaitan kecacatan dalam alasan penghakiman Mahkamah Tinggi.
Antara lain, alasan penghakiman didakwa mengandungi tuduhan berat terhadap kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah, termasuk dakwaan bahawa kedua-dua pihak telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan perlembagaan sejak tahun 1974.
Alasan penghakiman juga menyatakan bahawa kajian semula selepas tahun 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional, terdapat ketidakaturan prosedur, dan tindakan tersebut tidak berkadaran.
Justeru, kerajaan Persekutuan memutuskan untuk merayu terhadap kecacatan dalam alasan penghakiman, walaupun tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan keseluruhan.