Isu 40 peratus hasil Sabah: Tiada rayuan, kerajaan buat keputusan tepat - Nazri

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyokong penuh keputusan kerajaan untuk tidak membuat rayuan terhadap Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil yang diperoleh dari Sabah.

Mohamed Nazri berkata, keputusan yang dibuat itu amat tepat dan sewajarnya dipuji kerana kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan pilihan rakyat dan berkhidmat untuk rakyat.

“Jadi apabila mahkamah telah membuat keputusan yang memihak kepada rakyat dalam pertikaian antara kerajaan dan rakyat, secara logiknya kerajaan tidak sepatutnya membuat rayuan.

“Kita perlu ingat bahawa ini adalah kerajaan yang dipilih oleh rakyat dan ditubuhkan untuk rakyat. Maka atas alasan apa kita perlu membuat rayuan apabila mahkamah berpihak kepada rakyat?

“Pada saya, keputusan Jemaah Menteri dalam hal ini sangat tepat dan sewajarnya dipuji,” katanya.

Mohamed Nazri turut merujuk kepada penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam satu video tular baru-baru ini yang menunjukkan beliau menjawab persoalan daripada seorang pemuda di Sabah mengenai isu berkenaan.

“Dalam video tersebut, PMX menjelaskan bahawa kerajaan sudah memberikan lebih kepada Sabah. Jadi apa masalahnya untuk memberi 40 peratus seperti yang dimahukan oleh rakyat Sabah?” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pemberian 40 peratus hasil itu amat wajar kerana Sabah merupakan sebahagian daripada Malaysia.

“Lainlah kalau kerajaan membuat keputusan untuk memberi 40 peratus kepada Sabah sekiranya ia merupakan sebuah negara asing.

“Sebagai orang Semenanjung, dan juga rakyat Malaysia, saya tidak merasa rugi dengan apa sahaja yang kerajaan pusat berikan kepada Sabah.

“Kita sama, satu negara. Kenapa perlu merasa rugi, sedangkan ia tetap diberikan kepada rakyat Malaysia?” katanya.

Kerajaan Persekutuan hari ini memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap Pemberian Khas tersebut.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa susulan keputusan itu, kerajaan akan segera memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa keputusan berkenaan dibuat melalui Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang diadakan hari ini, bagi membincangkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bertarikh 17 Oktober lalu.