KUALA LUMPUR – Pilihan raya tidak seharusnya menjadi punca terputusnya silaturahim semata-mata kerana perebutan kuasa, sebaliknya proses demokrasi wajar dilihat sebagai ruang membentuk kerajaan melalui perbezaan pandangan yang sihat.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, Aidi Amin Yazid, menegaskan bahawa adab ketika berkempen perlu sentiasa dipelihara dengan memberi fokus kepada tawaran dan dasar terbaik untuk rakyat, bukannya merendah-rendahkan pihak lawan.
Menurutnya, masa depan Sabah, yang bakal ditentukan pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17), dijangka menyaksikan dinamika baharu melibatkan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, kesepakatan antara tiga gabungan itu membolehkan kerajaan menumpukan sepenuh perhatian terhadap agenda rakyat tanpa pertindihan calon, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan di bawah Kerajaan Madani.
“Kita mahukan yang terbaik untuk rakyat Sabah. Apa yang lebih penting ialah setiap calon perlu memahami pengertian ghibtah dan munafasah, iaitu bersaing untuk mencapai kejayaan sebagaimana orang lain tanpa berasa hasad dengki atau mahu menarik rezeki pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Aidi Amin menjelaskan bahawa Kerajaan Perpaduan memberi tumpuan terhadap isu-isu asas yang sekian lama membelenggu rakyat Sabah termasuk aspek pembangunan infrastruktur dan keperluan asas.
Menurutnya, bagi tahun 2026, Sabah menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM6.9 bilion, meningkat ketara berbanding RM4.4 bilion pada tahun 2022, sebagai bukti komitmen tinggi kerajaan terhadap negeri itu.
Menerusi jumlah tersebut, sebanyak RM1.2 bilion disalurkan bagi menjamin kestabilan bekalan elektrik selepas penyerahan kawal selia tenaga kepada negeri itu pada Januari 2024.
Selain itu, sebanyak RM765 juta diperuntukkan untuk Projek Southern Link, yang bertujuan memastikan bekalan tenaga stabil khususnya di kawasan pantai timur Sabah yang kerap terputus bekalan akibat bencana seperti tanah runtuh di Penampang.
“Kerajaan turut memperuntukkan RM1 bilion untuk projek air Sabah, termasuk pemasangan paip baharu di Tawau serta penggantian paip usang di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan,” ujarnya.
Dalam aspek pendidikan dan kemahiran, beliau berkata, sebuah Kolej Vokasional baharu akan dibina di Sabah selaras dengan peruntukan RM7.9 bilion bagi sektor TVET nasional.
Kerajaan juga menyediakan pembiayaan RM650 juta melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) yang akan memanfaatkan lebih 25,000 pelatih termasuk di Sabah.
“Majlis TVET Negara turut melaksanakan program IPT@Komuniti bagi memperkenalkan asas kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital kepada pelajar tahfiz serta pondok, supaya generasi muda Sabah mampu bersaing dalam ekonomi berasaskan kemahiran dan inovasi,” katanya.
Beliau berkata, perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi membawa reformasi ekonomi, memperkukuh infrastruktur dan memperkasa pendidikan rakyat di Sabah masih belum selesai.
“Semoga mandat baharu yang akan diperoleh melalui kesepakatan PH-GRS-BN dapat membentuk kerajaan negeri yang stabil serta membawa satu dinamika politik baharu demi merealisasikan ‘Harapan Urang Sabah’,” katanya.