PAPAR - Bekas Menteri Luar yang juga Pengerusi Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman diumumkan sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Pengumuman itu disampaikan oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, dalam Majlis Ramah Mesra Ketua Menteri Bersama Rakyat Bongawan yang berlangsung di Dewan Serbaguna Bongawan pada Isnin.
"Kalau GRS, parti komponennya, jenteranya mantap, ditambah dengan sokongan rakyat dan bersatu padu, saya yakin Bongawan ini milik GRS dan kita mahu menang," katanya.
Beliau yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, DUN Bongawan yang kini disandang parti pembangkang wajar kembali diwakili parti kerajaan supaya dapat dimajukan selaras dengan slogan Bongawan Maju.
Selain Bongawan, Hajiji turut menyatakan keyakinannya terhadap keupayaan GRS untuk kembali membentuk kerajaan selepas PRN Sabah pada 29 November ini.
Hajiji juga mengingatkan pentingnya semua pihak bersatu hati bagi memastikan wujud kestabilan politik di Sabah yang diterjemahkan menerusi sokongan pada PRN nanti.
"Jika kembali membentuk kerajaan, pelbagai lagi program ekonomi akan dirancang untuk rakyat sepanjang tempoh lima tahun akan datang," katanya.
Untuk rekod, Barisan Nasional (BN) pada malam Ahad mengumumkan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin sebagai calon bagi DUN Bongawan.
Sebelum ini, Hajiji turut mengesahkan Datuk Rubin Balang sebagai calon GRS bagi kerusi Kemabong dalam PRN kali ini dan berharap dengan jentera yang kukuh serta sokongan padu daripada pengundi di kawasan tersebut.
"Insya-ALLAH, Datuk Rubin Balang akan sekali lagi memenangi pilihan raya ini,” katanya.