PENAMPANG - Parti Impian Sabah (PIS) menjadi parti pertama yang mengambil langkah berani mengumumkan kesemua 73 calonnya untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) kali ini.
Presidennya, Michel Alok berkata, kesemua calon telah diberikan watikah pelantikan dan ini bermaksud tiada lagi perubahan dari segi calon yang disenaraikan.
"Dalam PRN kali ini, kita turut mempertaruhkan dua Timbalan Presidennya iaitu Sauting Rabuyot dan Ng Chun Sua @ Kandrix Ng masing-masing bagi kawasan DUN Bandau dan Api-Api.
"Dari segi komposisi calon golongan belia dan wanita masing-masing sekitar lapan peratus manakala selebihnya adalah berusia di atas daripadanya," katanya yang turut mengumumkan dirinya juga sebagai calon bagi DUN Telupid.
**media[3336312]**Mengulas lanjut, beliau berkata, PIS sudah pun bersedia dari segi jentera bagi menghadapi pilihan raya dengan mengikut peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Kita tidak bertanding dengan melawan peraturan dan dalam peraturan sudah diberitahu bahawa satu DUN hanya dibenarkan perbelanjaan sebanyak RM100,000, jadi kita akan membelanjakan apa yang telah ditetapkan saja.
"Jadi sekarang ini masing-masing Bahagian akan mencari dana termasuk melalui sumbangan dari rakan-rakan yang berjuang bersama dalam PIS ini. Ini kerana pilihan raya kali ini sangat penting sekali dalam menentukan masa depan Sabah," katanya.
Sementara itu, Kandrix melihat pencalonan beliau sebagai satu kelebihan untuknya menawan DUN Api-Api yang sebelum ini dimiliki oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).
**media[3336313]**"Saya sudah bersedia untuk bertarung, tunggu Sabtu ini hari pencalonan. Kita tahu PKR adalah sebuah parti besar, kewangan pun besar tapi jangan bandingkan dengan PIS. Apa saya boleh katakan, saya beri perkhidmatan kepada rakyat, apa yang saya boleh tolong aktiviti dan rungutan mereka, saya sudah berjalan sekitar Kota Kinabalu.
"Jadi saya percaya semua orang boleh nampak apa yang saya buat, apa keperluan orang di sini, apa yang mereka mahu saya sudah sampaikan. Sebab saya mahu suara baru Api-Api," jelasnya.