UPKO umum keluar PH serta-merta

 

KOTA KINABALU - Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengumumkan keputusan untuk keluar daripada Pakatan Harapan (PH) berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO yang diadakan pada Isnin, bagi membincangkan hala tuju perjuangan parti berteraskan agenda Sabah First.

Menurut Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson W Agang, mesyuarat berkenaan turut menyokong sepenuhnya keputusan Presiden, Datuk Ewon Benedick yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kerana tidak bersetuju dengan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) sepanjang prosiding semakan kehakiman berkaitan hak 40 peratus hasil Sabah yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS).

"Mesyuarat tersebut untuk membincangkan agenda Sabah First yang menjadi asas perjuangan dan hala tuju kepimpinan UPKO.

"Mesyuarat khas ini menyokong sepenuhnya keputusan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kerana tidak dapat bersetuju dengan pendirian dan pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) sepanjang prosiding Semakan Kehakiman terkait hak 40 peratus Sabah yang difailkan oleh Sabah Law Society," katanya satu dalam kenyataan pada Isnin.

Nelson berkata, sepanjang empat tahun berada dalam PH, UPKO konsisten menjadikan agenda Sabah First sebagai asas dalam perundingan manifesto pilihan raya dan juga dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang diketuai oleh Pengerusi PH.

Bagaimanapun, katanya sepanjang tempoh tersebut wujud jurang tafsiran dan perbezaan pandangan antara UPKO dan parti-parti komponen PH di peringkat nasional berhubung isu pelaksanaan hak hasil 40 peratus Sabah, tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak serta kegagalan melaksanakan autonomi pentadbiran PH Sabah.

"Kepengerusian PH Sabah oleh UPKO melalui Mesyuarat Agung PH Sabah tidak pernah diselesaikan oleh Majlis Presiden PH susulan bantahan daripada PKR Sabah.

"Malah UPKO turut menerima kecaman terbuka walaupun keputusan dibuat melalui pemilihan yang dikendalikan oleh pentadbir dari Ibu Pejabat PH," katanya.

Tambahnya lagi, Presiden UPKO kemudiannya hanya dilantik sebagai kordinator, namun keputusan berkaitan persiapan pilihan raya tetap dibuat oleh PKR tanpa memberi autonomi sebenar kepada PH Sabah, bercanggah dengan pengumuman asal.

Berikutan itu Nelson berkata, UPKO menilai semula hala tuju perjuangan parti dan membuat kesimpulan bahawa hanya parti-parti tempatan Sabah yang benar-benar memahami aspirasi dan keperluan rakyat negeri ini.

"Hanya parti-parti tempatan Sabah sahaja yang betul-betul memahami denyutan nadi, jiwa, wawasan dan impian masa depan Sabah berdasarkan kepada Perjanjian Malaysia 1963 dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya hak 40 peratus," katanya.

Beliau menegaskan UPKO kekal dengan pendirian bahawa hak 40 peratus hasil Sabah adalah hak berasingan dan tidak boleh disamakan dengan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan di bawah Senarai Persekutuan (Federal List).

"UPKO bersedia bekerjasama dengan parti-parti tempatan Sabah yang mahu memperjuangkan agenda Sabah First bersama-sama supaya pelaksanaan sebenar Perjanjian Malaysia 1963, termasuk hak 40 peratus, dapat diperjuangkan dengan lebih berkesan," katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa hubungan baik antara kerajaan Persekutuan dan Sabah harus diteruskan, namun mestilah berasaskan kepada semangat, tujuan dan pelaksanaan sebenar Perjanjian Malaysia 1963.

"Setelah mempertimbangkan penyertaan dalam PH selama empat tahun dan mengambil kira seruan rakyat Sabah agar penyatuan parti-parti tempatan dimulakan melalui pilihan raya ini, maka Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO memutuskan untuk mengundur diri daripada PH serta-merta," katanya.

Nelson berkata, keputusan tersebut akan dimaklumkan secara rasmi kepada Pengerusi PH dan parti-parti komponennya.

Beliau turut memaklumkan bahawa dua Ahli Parlimen UPKO, Ewon dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, akan terus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar kestabilan Kerajaan Persekutuan dikekalkan sehingga tamat penggal ini.

Ewon sebelum itu membuat keputusan untuk meletakkan jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada Sabtu lalu.