IPOH - MIC Perak meminta penjelasan daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berhubung dakwaan penangguhan semua lantikan politik membabitkan wakil MIC.
Pengerusi MIC Perak, Tan Sri M Ramasamy berkata, dakwaan itu timbul susulan kenyataan Exco Kerajaan Negeri, Datuk A Sivanesan yang juga Naib Pengerusi DAP Perak di platform media berbahasa Tamil pada 8 November lalu.
Menurutnya, dalam laporan itu Saarani telah dinasihati supaya menangguhkan sebarang pelantikan politik wakil MIC sehingga Perhimpunan Agung MIC yang dijadualkan pada 16 November ini bakal menentukan hala tuju parti sama ada kekal bersama Barisan Nasional (BN) atau sebaliknya.
“Kami di MIC Perak ingin meminta pengesahan daripada Menteri Besar sendiri berhubung kenyataan tersebut. Jika benar, mengapa hal dalaman BN perlu dipengaruhi oleh nasihat daripada pemimpin DAP?
“Ia seolah-olah menunjukkan kerajaan perpaduan negeri Perak hari ini hidup atas ihsan sokongan DAP, manakala UMNO pula seakan-akan tidak mempunyai kuasa dalam menentukan dasar atau arah tuju BN,” katanya ketika sidang akhbar di Wisma MIC Perak di sini pada Isnin.
Ramasamy berkata, tindakan seumpama itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan ahli dan penyokong MIC di seluruh negeri.
Jelasnya, beberapa permohonan parti untuk bertemu dengan Saarani bagi membincangkan isu-isu berkaitan masyarakat India sebelum ini tidak mendapat maklum balas.
"Sudah beberapa kali kami memohon janji temu dengan Menteri Besar sejak tahun lalu, malah beberapa usul telah diserahkan tetapi tiada sebarang tindakan lanjut.
“Saya bersangka baik mungkin Menteri Besar sibuk tambahan PRN (Pilihan Raya Negeri) di Sabah,” katanya lagi.
Menurut beliau, tindakan itu memberi gambaran seolah-olah MIC terus dianaktirikan dalam pentadbiran negeri walaupun menjadi sebahagian daripada BN sejak berdekad lamanya.
Bagaimanapun, Ramasamy masih yakin Saarani yang juga Pengerusi BN dan UMNO Perak tidak akan mengeluarkan arahan atau kenyataan sedemikian tanpa melalui saluran rasmi.
“Saya tidak percaya Datuk Seri Saarani akan bertindak sedemikian kerana beliau seorang yang berhemah.
“Namun, saya perlu bersuara kerana semua 24 bahagian MIC di Perak bertanya kepada saya tentang perkara ini. Kami tidak boleh berdiam diri bila DAP kelihatan seperti cuba mengawal keputusan politik kerajaan negeri,” katanya.
Ramasamy menegaskan MIC Perak dan semua ahlinya kekal setia kepada BN, namun mahu penjelasan jelas daripada Menteri Besar bagi menamatkan kekeliruan berhubung dakwaan tersebut.