Keputusan berani Ewon beri kelebihan kepada UPKO

SHAH ALAM - Keputusan berani Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet Persekutuan kerana tidak bersetuju dengan pendirian Jabatan Peguam Negara mengenai hak Sabah berjaya memperkukuh lagi imej partinya sebagai suara tulen rakyat negeri itu.

Penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Hussain Yusri Zawawi berkata, tindakan tersebut secara tidak langsung memberi kelebihan kepada parti berkenaan dalam menghadapi PRN Sabah.

“Keberanian beliau mempertahankan hak negeri walaupun terpaksa berdepan risiko politik di peringkat pusat menjadi satu kelebihan. Ia memberi isyarat bahawa UPKO tidak tunduk kepada tekanan politik Persekutuan, sebaliknya meletakkan kepentingan rakyat Sabah sebagai keutamaan.

“Tindakan Ewon ini dilihat oleh ramai sebagai simbol keberanian dan integriti politik. Rakyat Sabah sejak sekian lama menuntut agar janji-janji dalam MA63 dilaksanakan dengan adil.

“Oleh itu, langkah ini berpotensi mendapat sokongan padu daripada rakyat yang mengharapkan pemimpin tempatan berani memperjuangkan hak negeri tanpa kompromi,” katanya kepada Sinar Harian.

UPKO adalah sebahagian parti komponen yang membentuk PH Sabah bersama PKR, DAP dan Amanah.

Mengulas lanjut, Hussain Yusri berkata, politik Sabah terkenal dengan dinamiknya yang kompleks, faktor personaliti, hubungan antara parti tempatan dan nasional, serta pengaruh pembangunan ekonomi setempat sering menjadi penentu sebenar corak pengundian.

Justeru katanya, meskipun tindakan Ewon disambut baik dari sudut moral dan prinsip, ia tidak semestinya menjamin kemenangan politik mutlak tanpa strategi akar umbi yang mantap.

“Selain itu, peletakan jawatan ini juga boleh menggugat keseimbangan politik parti dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan. Ketiadaan Ewon dalam Kabinet bermaksud UPKO kehilangan suara langsung dalam menentukan dasar-dasar pembangunan nasional yang berkait dengan Sabah,” katanya.