PRN Sabah: Dua doktor, akauntan antara calon wakil Pemuda UMNO

SHAH ALAM - Lima wakil Pemuda UMNO diberikan tanggungjawab bagi mewakili parti itu sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, termasuk dua doktor perubatan dan seorang akauntan.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, selain itu, dua orang lagi merupakan ahli perniagaan yang turut dipilih sebagai wakil calon muda mewakili Barisan Nasional (BN) di negeri berkenaan.

“Satu tanggungjawab yang besar dan bukan mudah tetapi insya-ALLAH kami akan laksanakan sebaik mungkin kami untuk memberikan kemenangan untuk parti ini,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.

Sebelum ini, BN Sabah mengumumkan 41 calon untuk bertanding di 41 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Kesemua calon diumumkan oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam satu majlis pengumuman di Bangunan UMNO, Kota Kinabalu pada Ahad.

Menurut Bung Moktar, BN Sabah telah mengesahkan penyertaan dalam PRN17 dengan menggunakan lambang keramat iaitu dacing.

Dr Muhamad Akmal turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Bung Moktar atas kepercayaan diberikan kepada barisan muda dalam PRN kali ini.

“Era baharu BN telah bermula. Kita bikin balik Sabah,” ujarnya.