SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menempelak tindakan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad yang didakwa mengaitkan nama Pas ketika menyampaikan ucapan dalam sebuah konvensyen baru-baru ini.
Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, Pas tidak berminat untuk mencampuri urusan parti berkenaan yang menurutnya diasaskan atas dasar syak wasangka sesama sendiri.
“Nak bergaduh, silakan. Lagipun memang parti anda diasaskan atas dasar syak wasangka sesama sendiri pun.
“Tidak payah nak kait dengan Pas. Saya malas nak ambil tahu hal parti kecil ini, tapi bila hendak kait juga nama Pas, macam pelik lah kan?” katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.
Sebelum ini, usul berkaitan pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung tahun hadapan antara yang menjadi perhatian pada hari kedua penganjuran Konvensyen Nasional Amanah 2025.
Suasana menjadi sedikit tegang apabila beberapa perwakilan mendesak agar usul tersebut dibahaskan segera.
Pengerusi persidangan, Azhar Abd Shukur berulang kali menenangkan keadaan sebelum membenarkan dua perwakilan membentangkan cadangan masing-masing mengenai pemilihan parti.
Pada Ahad, media melaporkan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad menerusi ucapan dalam Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara, menegur segelintir ahli parti supaya menjaga tingkah laku mereka akhlak berhubung isu penangguhan pemilihan pimpinan parti.