Semua MPT Bersatu setuju hentikan kemelut dalaman parti – Muhyiddin

PETALING JAYA – Semua Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebulat suara bersetuju menghentikan kemelut dalaman parti demi mengukuhkan perpaduan dan kekuatan Bersatu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas yang diadakan di ibu pejabat parti itu di sini pada Selasa melibatkan kehadiran hampir semua kepimpinan tertinggi parti.

“Kita menghadapi sedikit sebanyak masalah, tetapi hari ini semua bersepakat supaya kita mencari jalan seberapa segera yang mungkin untuk kembali bertaut sebagai satu jamaah yang cukup padu dan kuat,” katanya kepada media pada Selasa.

Menurut Muhyiddin, MPT sepakat bahawa sebarang isu atau pertikaian berbangkit sebelum ini perlu segera dihentikan bagi memastikan tumpuan parti kekal kepada kebajikan rakyat serta persiapan menghadapi pilihan raya.

“Kami sedar perkara ini perlu diberhentikan. Tidak ada lagi apa-apa yang harus dibangkitkan,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut memaklumkan, Bersatu telah memuktamadkan pembahagian kerusi yang akan ditandingi di Sabah dengan rakan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) termasuk PAS dan Gerakan.

Katanya, beliau akan berada di Sabah pada 7 November ini bagi melancarkan jentera pilihan raya PN, sebelum mengumumkan senarai calon pada 11 November.

“Hari ini kita putuskan kerusi-kerusi yang kita akan tandingi daripada pihak Bersatu, tetapi rakan-rakan kita PAS dan Gerakan pun akan menyertai sama,” ujarnya.

Dalam mesyuarat sama, Bersatu turut meluluskan penubuhan Lembaga Rayuan yang akan berperanan menangani isu dalaman secara teratur dan berhemah.

“Kita bersetuju untuk memilih beberapa dalam kalangan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi untuk membentangkan cadangan-cadangan konkrit dan itu akan dijalankan dalam tempoh yang segera,” katanya.

Muhyiddin menegaskan, parti kini memberi tumpuan penuh terhadap penyatuan semula barisan kepimpinan serta persiapan menghadapi cabaran politik semasa dengan semangat baharu.