SHAH ALAM - Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menandatangani sepucuk surat dan diserahkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak risau atau khuatir jika dilabel sebagai individu menentang presiden memandangkan mereka tidak mempunyai niat lain, hanya untuk betulkan keadaan.
Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor berkata, pandangan menerusi surat itu dibuat demi kebaikan parti dengan harapan presiden akan memikirkan jalan yang paling baik untuk menyelesaikan kemelut berlaku.
Menurutnya, ini kerana tindakan memecat dan penggantungan ahli tidak seharusnya berlaku buat masa sekarang.
“Apa yang diusahakan untuk kebaikan parti saya sokong, kalau tidak saya orang pertama akan lawan. Untuk kes ini saya rasa tidak betul apabila pergolakan yang berlaku dalam Bersatu sehingga menyebabkan pecat-memecat walhal ia boleh dirunding.
“Mungkin panggil dan nasihat dahulu. Kenapa cepat nak ambil tindakan? Kita bukan nak buang presiden atau benci dia tetapi mahu yang terbaik untuk parti.
“Malah timbul persoalan, kenapa orang yang alih sokongan kepada Pakatan Harapan (merujuk kepada enam ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri) tidak dibuang, sedangkan dua orang ini hanya bagi pandangan sahaja,” ujarnya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah memberitahu, matlamat utama parti hanya menjatuhkan Perdana Menteri ke-10 (PMX) dan menang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Saya tidak risau kerana yakin menegakkan kebenaran dan mencari keadilan demi menyelamatkan Bersatu dan memperkasa Perikatan Nasional (PN).
“Surat itu adalah luahan hati ahli-ahli Parlimen Bersatu. Yang tandatangan 16 orang, bersolidariti tiga jadi 19.
“Kami sengaja tak ambil daripada dua Naib Presiden (Datuk Dr Mohd Radzi Jidin dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee). Makna, sekurang-kurang 19 ahli Parlimen atau lebih tandatangan daripada 25 ahli Parlimen,” jelasnya.