Namakan Muhyiddin sebagai calon PM bukan suka-suka - Tun Faisal

SHAH ALAM - Keputusan untuk menamakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri yang mewakili parti itu dibuat dengan mengambil kira pelbagai asas pertimbangan.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, pemilihan tersebut juga dilakukan dengan penuh tanggungjawab berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki Ahli Parlimen Pagoh itu.

Menurutnya, kewibawaan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dibuktikan apabila beliau berjaya mengemudi beberapa kementerian dan mentadbir negeri sebelum ini.

"Apabila kita hendak masuk pilihan raya tentulah rakyat akan bertanya siapa calon Perdana Menteri. Macam Pakatan Harapan (PH) sejak dahulu sampai sekarang hanya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dinamakan sebagai calon.

"Jadi, apabila kita hendak namakan Tan Sri Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri pun, kita buat atas dasar tanggungjawab. Kenapa kita buat macam tu? Kerana beliau orang berpengalaman dan berpengetahuan. Pengalaman beliau jauh lebih banyak dan lama berbanding Datuk Seri Anwar. Tan Sri Muhyiddin ada pengalaman dalam 11 kementerian termasuk di negeri.

"Ini bermakna apabila kita cadang (nama Muhyiddin) bukan suka-suka tetapi dengan penuh tanggungjawab bersandarkan merit pengalaman dan pengetahuan yang ada pada beliau," katanya ketika Program Interviu bertajuk Bersatu Berpecah?: Apa Kata Fayhsal, Faisal yang disiar secara langsung di semua platform Sinar Harian pada malam Jumaat.

**media[3325632]**

Mengulas lanjut, Tun Faisal mendakwa, dalam keadaan negara yang kini berdepan dengan pelbagai krisis termasuk ekonomi, Malaysia memerlukan pemimpin yang berkemampuan menguruskan perkara itu dengan baik dan Muhyiddin merupakan individu yang tepat.

"Muhyiddin ialah pemimpin yang telah terbukti dan teruji mampu urus krisis dengan baik ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri sebelum ini semasa negara diuji dengan krisis Covid-19," katanya.

Menjawab kritikan beberapa pihak termasuk daripada pemimpin dan ahli parti Bersatu sendiri yang seakan tidak senang dengan pengumuman tersebut kerana bimbang boleh menjejaskan hubungan dengan rakan parti gabungan lain terutama Pas, Tun Faisal berkata, perkara itu sepatutnya tidak berlaku.

"Kita mencadangkan Muhyiddin ini dalam platform kita iaitu Bersatu, selepas ini kalau ada isu berbangkit mungkin di pihak Pas atau sesiapa sahaja yang komen, nanti kita uruslah dan selesai dalam platform PN. Jadi, ini tiada isu sebenarnya," katanya.