SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mengakui kemelut dalaman yang berlaku ketika ini memberi kesan kepada parti dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 tidak lama lagi.
Bagaimanapun beliau berkata, perkara itu sedang diurus secara bijak dan berhemah oleh kepimpinan parti agar segala permasalahan yang timbul dapat diselesaikan segera.
"Insya-ALLAH beri kepercayaan kepada parti untuk uruskan perkara ini dan sebab itulah saya turun ke bahagian-bahagian dan beritahu bahaw akita tengah menguruskan perkara ini secara bijak, berperlembagaan dan sebagainya.
"Saya juga meminta semua pihak untuk bertenang dan beri kita sedikit masa dan kepercayaan untuk uruskan masalah dalaman sebaik mungkin. Kemelut ini memang memberi seidkit kesan tapi saya berpandangan baik juga ia berlaku sekarang kerana sekurang-kurangnya kita dapat selesaikan sebelum PRN Sabah," katanya ketika Pogram Interviu bertajuk Bersatu Berpecah?: Apa Kata Fayhsal, Faisal yang disiar secara langsung di semua platform Sinar Harian pada malam Jumaat.
Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata, parti pada awalnya ingin menyelesaikan kemelut yang berlaku itu secara dalaman, namun perancangan berubah selepas individu yang dikenakan tindakan disiplin semakin banyak membuat tuduhan sehingga menjejaskan imej parti.
"Kelompok ini (yang mencetuskan kekecohan dalam parti) tidak ramai tetapi mereka banyak membuat bising. Maksudnya mahu atau tidak kena kena urus sebab ada tuduhan yang dibuat itu tidak benar dan merosakkan imej parti.
"Jadi, pada saya kita perlu beri penjelasan berdasarkan fakta dan apa sebenarnya yang berlaku. Insya-ALLAH beri kepercayaan kepada parti untuk selesaikan segera kemelut yang berlaku ini," katanya.
Sebelum ini, Lembaga Disiplin Bersatu memecat keahlian Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan serta menggantung keahlian selama satu penggal Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang.
Tindakan tersebut dipercayai berhubung isu akuan bersumpah yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti itu sebelum ini.
Sementara itu, Tun Faisal dalam masa sama turut menyangkal dakwaan mengaitkan keputusan dibuat Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin termasuk tindakan disiplin terhadap beberapa individu dipengaruhi oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata, selaku pemimpin yang mempunyai pengalaman luas dan berdepan dengan pelbagai krisis, Ahli Parlimen Pagoh itu mempunyai asas serta pertimbangan tersendiri sebelum membuat sesuatu tindakan.
"Tentulah ada pertimbangan dan cadangan daripada Datuk Seri Azmin yang dilihat masuk akal serta sesuai untuk parti akan dipertimbangkan Tan Sri Muhyiddin, namun kita tidak boleh kata Datuk Seri Azmin pengaruhi semua keputusan Presiden. Sebagai Presiden Tan Sri Muhyiddin ada fikiran dan kebijaksanaan sendiri," katanya.
ends