Budaya politik Azmin Ali tidak cocok dengan Bersatu - Wan Ahmad Fayhsal

SHAH ALAM - Arahan dalaman dikeluarkan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali agar pemimpin dan ahli tidak terlibat dalam sebarang bentuk penganjuran, perjumpaan atau perbincangan dengan mana-mana pihak yang dijatuhkan hukuman oleh Lembaga Disiplin parti itu jelas memperlihatkan perbezaan budaya politik bekas Ahli Parlimen Gombak tersebut.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, disebabkan tindakan yang dibuat Mohamed Azmin itu mengakibatkan parti yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin itu menjadi bahan ketawa parti lawan.

"Dalaman Bersatu sebelum ini pun ada bergaduh tapi tidak berlaku seperti ini. Selama saya dalam parti enam tahun, tidak pernah lagi parti seteruk ini daripada segi budaya politiknya.

"Kita berbeza pandangan, tiada masalah tapi bukan tikam menikam. Apa yang dilakukan Datuk Seri Mohamed Azmin ini tidak cocok dengan budaya Bersatu," ketika Pogram Interviu bertajuk Bersatu Berpecah?: Apa Kata Fayhsal, Faisal yang disiar secara langsung di semua platform Sinar Harian pada malam Jumaat.

Pada 14 Oktober lalu, Lembaga Disiplin Bersatu menggantung keahlian Wan Fayhsal untuk satu penggal serta memecat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti merangkap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, bersama empat ketua bahagian.

Lembaga berkenaan ketika itu menyatakan mereka didapati bersalah melanggar perlembagaan parti serta Kod Etika dan Tatakelakuan Bersatu.

Walaupun kenyataan rasmi tidak menyenaraikan butiran pelanggaran, difahamkan tindakan itu berkait dengan usaha mendesak Muhyiddin menyerahkan kepimpinan parti kepada Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

**media[3325896]**

Mengulas mengenai dakwaan Mohamed Azmin dilihat lebih menjadi disenangi Muhyiddin berbanding Hamzah, Wan Ahmad Fayhsal mengakui perkara itu sering dibangkitkan banyak pihak.

Menjawab kemungkinan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendapat keistimewaan daripada Muhyiddin disebabkan 'Langkah Sheraton' hingga membawa Ahli Parlimen Pagoh tersebut dilantik sebagai Perdana Menteri ketika tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal tampil memberi penjelasan.

"Saya ingin ingatkan kepada semua ahli Bersatu dan rakyat Malaysia bahawa kerajaan PN tidak tertubuh semata-mata dengan sokongan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan ahli PKR yang lari (keluar parti).

"Sebaliknya, orang penting yang menjayakan misi melengkapkan majoriti Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri ialah Datuk Seri Hamzah," katanya.