UMNO Terengganu sedia nilai semula kerjasama dengan PH pada PRU16

KUALA TERENGGANU – UMNO Terengganu tidak menolak kemungkinan untuk menilai semula kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya gabungan itu dilihat tidak memberi kelebihan kepada parti berkenaan.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku berkata, walaupun kerjasama dengan PH dijalin atas semangat perpaduan di peringkat pusat, realiti politik di Terengganu menunjukkan hanya UMNO dan Pas yang benar-benar mendapat tempat di hati rakyat.

“Kita bukan menolak kerjasama, tetapi perlu berpijak pada realiti. Di Terengganu, parti lain selain UMNO dan Pas masih sukar diterima.

“Kalau kita beri laluan kepada PH bertanding, mereka hanya mampu meraih undi kecil walaupun dibantu jentera UMNO,” katanya ketika ditemui di Pejabat UMNO Negeri di sini.

Nik Dir berkata, situasi itu dapat dilihat dalam beberapa kerusi yang ditandingi calon PH pada pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini.

“Saya bukan mahu menidakkan kehadiran PH, PKR dan Amanah, tapi kita dah bagi (kerusi). Parlimen Marang bagi PH bertanding di situ, namun hanya dapat 3,000 undi daripada 140,000 pengundi.

“Contoh di DUN Ru Rendang, ‘huduh-huduh’ saya pun bertanding di situ dapat juga 9,000 undi, tapi pada PRU lepas kita bagi kepada Amanah hanya dapat 2,000 lebih undi. Jadi kalau kita bagi (kerusi) pada mereka, sokongan kepada UMNO akan terhakis,” ujar beliau.

Beliau menegaskan, UMNO perlu bersikap terbuka dengan menilai semula strategi gabungan, termasuk pemilihan calon yang benar-benar boleh menang bagi memulihkan kembali sokongan rakyat.

“Rakyat di Terengganu ini lebih cenderung kepada parti Melayu. Jadi, UMNO kena realistik dan bijak membaca suasana tempatan.

“Bagi kita, kita akan nilai semula (kerjasama), tapi oleh kerana kita berada dalam kerajaan yang sama, kita terpaksa berunding terlebih dahulu,” katanya.

Mengulas mengenai kekalahan pada PRU15, Nik Dir mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki selepas keputusan tidak memberangsangkan pada pilihan raya itu.

Katanya, UMNO Terengganu sudah mengenal pasti beberapa kelemahan dan sedang melakukan penambahbaikan termasuk aspek kewangan, jentera dan komunikasi politik.

“Antara kelemahan ketara ialah apabila parti memegang tampuk kerajaan negeri sebelum ini, ramai pihak yang pernah bersama UMNO mula menjauhkan diri termasuk pegawai kerajaan, persatuan serta ahli korporat.

“Sejak PRU15, mereka tidak lagi bersama dengan kita. Tambahan pula, ada sebahagian kecil ahli UMNO sendiri dan pengundi tegar yang memprotes disebabkan isu-isu dalaman parti seperti tidak membela mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan rasa tidak puas hati terhadap presiden parti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa UMNO dilihat berupaya memenangi semula sekurang-kurangnya 10 kerusi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu jika gerak kerja diperkukuh.

“Kalau kita kukuhkan dan bersih jentera parti, insya-Allah kita boleh menang. Tapi semua kena bersungguh-sungguh dan kerja kuat,” katanya.

Nik Dir menambah, fokus UMNO Terengganu ketika ini bukan kepada soal calon, sebaliknya memastikan parti terus agresif mendekati rakyat.

“Saya tak fikir soal calon. Yang penting bantu parti dan jangan biar rakyat lupa perjuangan kita,” ujarnya.

Sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) menang di kesemua 32 kerusi DUN Terengganu termasuk satu kerusi Parlimen yang dipertandingkan dalam PRN dan pilihan raya kecil (PRK) pada Ogos 2023.

Beberapa kubu kuat Barisan Nasional (BN) juga berjaya ditembusi PN melalui gelombang hijau dan sokongan golongan muda.

Pada PRU14, Pas memenangi 22 daripada 32 kerusi manakala selebihnya dimenangi BN.