ALOR SETAR - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang memasuki fasa terakhir perjuangan politik apabila berdepan krisis dalaman parti yang berisiko menentukan sama ada beliau terus kekal relevan atau ‘menghilang’ sebagai figura politik penting.
Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, apa yang dilakukan Muhyiddin dalam tempoh 90 hari akan datang dianggap kritikal dan akan menentukan masa depan beliau dalam politik negara.
Menurutnya, tidak ada yang lebih menyedihkan daripada melihat seorang pemimpin yang pernah menjadi Perdana Menteri kini bergelut dengan pengkhianatan dari dalam parti sendiri.
“Muhyiddin bukan sekadar menghadapi krisis kepimpinan biasa, ironinya beliau sedang berperang untuk survival politik yang akan menentukan sama ada beliau akan diingati sebagai negarawan atau sekadar nota kaki dalam sejarah negara,” katanya kepada Sinar Harian.
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu berkata, musuh terbesar Muhyiddin bukan lawan luar seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau DAP, sebaliknya individu dalaman parti yang memainkan peranan sebagai dalang dengan menggunakan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai alat politik.
“Konspirasi ini dirancang rapi oleh segelintir pemimpin yang tidak mahu Muhyiddin terus memimpin, tetapi tidak berani menentang secara terang-terangan. Mereka gunakan Hamzah sebagai ‘trojan horse’.
“Jika Muhyiddin tidak bertindak sekarang, karier politik beliau secara perlahan akan lenyap,” katanya.
Ahmad Zaharuddin Sani mengemukakan beberapa strategi yang perlu diambil segera oleh mantan Perdana Menteri itu, antaranya dengan melakukan pembersihan dalaman, menggugurkan elemen toksid dalam parti termasuk dalang konspirasi daripada jawatan penting parti.
“Beliau juga wajar umumkan alasan pemecatan untuk mengurangkan manipulasi maklumat selain berhati-hati dengan dakyah yang dimainkan seperti, masa beliau sudah berakhir atau Bersatu perlukan ketua baharu atau persepsi Muhyiddin berdepan ‘tarikh luput’.
“Aktifkan segera rangkaian perisikan dalaman untuk mengesan dalang dan pantau kebocoran maklumat dengan memasang sistem pemantauan digital terhadap saluran komunikasi parti.
“Langkah ini mungkin kelihatan agak kontroversi tetapi perlu dalam keadaan terdesak,” katanya.
Tambah beliau, selepas pembersihan parti, Muhyiddin perlu membina semula Bersatu dengan menampilkan wajah baharu yang kompeten, dengan mengetengahkan pemimpin muda dan setia untuk kukuhkan semula struktur parti.
“Muhyiddin mempunyai dua pilihan, sama ada menempatkan Hamzah pada jawatan berprestij tetapi tanpa kuasa atau menjadikan Hamzah sebagai sekutu kerana beliau mempunyai sokongan akar umbi yang kukuh.
“Ini akan menggambarkan Muhyiddin berkeyakinan tinggi dan tidak takut dengan persaingan. Mereka perlu bersatu untuk berdepan musuh sebenar dalam politik,” ujarnya.
Ahmad Zaharuddin Sani turut menyarankan agar Muhyiddin mengukuhkan hubungan dengan Pas dan memberi isyarat bahawa pengguguran beliau boleh mengancam kerjasama pakatan kerana langkah itu mungkin mencetuskan panik jika Bersatu kehilangan sokongan presidennya.
“Mobilisasi akar umbi juga wajar digerakkan, anjurkan perhimpunan mega bagi menunjukkan bukti sokongan rakyat dan ahli sebagai senjata terakhir,” katanya.
Beliau tegaskan, sekiranya semua opsyen menemui jalan buntu, langkah ekstrem yang berisiko tinggi tetapi berpotensi memperkukuhkan kedudukan Muhyiddin boleh diambil.
“Antaranya mencetuskan krisis perlembagaan parti melalui pindaan perlembagaan Bersatu untuk kukuhkan kuasa presiden, memperkenalkan kriteria baru yang boleh menolak pencalonan tertentu.
“Memanggil usul tergempar untuk mengadakan pemilihan parti serta adakan ujian taat setia kepada pemimpin.
“Jika langkah itu berjaya, ia akan mengukuhkan kedudukan Muhyiddin namun jika gagal, ia mungkin menamatkan karier politik beliau,” katanya.
Ahmad Zaharuddin Sani berkata, kebarangkalian untuk Muhyiddin berjaya menangani krisis secara berkesan dianggarkan 60 peratus jika strategi yang dicadangkan itu dilaksanakan.
“Jika masih gunakan pendekatan sama, peluang hanya kurang 20 peratus. Muhyiddin perlu memilih sama ada mahu diingati sebagai negarawan atau pejuang yang berjuang habis-habisan,” katanya.