SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Ketua Bersatu Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq mengesahkan keanggotaannya sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu telah ditamatkan.
Beliau mendakwa pemberhentian tersebut dipercayai berpunca daripada pendiriannya yang tidak menyokong sepenuhnya Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam beberapa perkara tertentu.
Khaliq Mehtab bagaimanapun mengakui beliau akur dengan tindakan yang dikenakan terhadapnya.
“Saya menghormati keputusan tersebut, namun sebagai ahli MPT yang dipilih untuk memperkukuh institusi parti, saya percaya hak untuk menyuarakan pandangan dan pendirian yang berbeza merupakan sebahagian daripada semangat demokrasi dalam parti yang kita cintai ini.
“Sepanjang tempoh perkhidmatan, saya telah berusaha sedaya upaya melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan penuh integriti, keikhlasan serta komitmen terhadap perjuangan parti,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau dalam masa sama menegaskan proses peralihan kuasa wajar dilaksanakan secara tuntas, segera dan berhemah demi memperkukuh perpaduan serta hala tuju masa depan parti.
“Pandangan ini lahir atas dasar kasih dan tanggungjawab terhadap parti, bukan atas niat untuk menentang kepimpinannya.
“Saya juga berpandangan dan berharap agar pada masa akan datang, pelantikan ke MPT dibuat berasaskan kebolehan, kredibiliti dan prinsip perjuangan, bukan sekadar untuk melahirkan barisan ‘Yes Man’,” katanya.
Sementara itu, Khaliq Mehtab turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan parti berkenaan.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Presiden atas kepercayaan yang telah diberikan kepada saya untuk memikul amanah tersebut,” katanya.