PRN Sabah: STAR gesa SPR benarkan undi pos untuk rakyat Sabah di Semenanjung

KOTA KINABALU - Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperluaskan kemudahan undi pos kepada rakyat Sabah yang menetap dan bekerja di Semenanjung bagi memastikan proses pilihan raya negara lebih adil dan telus.

Ketua Penerangan STAR, Anuar Ghani berkata, dasar sedia ada yang membenarkan rakyat Malaysia di luar negara mengundi secara pos namun tidak kepada rakyat Sabah di Semenanjung adalah bercanggah dengan prinsip demokrasi yang adil.

"Jika pilihan raya kita mahu dilihat sebagai adil dan telus, maka setiap rakyat Malaysia mesti mempunyai akses mengundi yang sama," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, tidak wajar rakyat Malaysia di luar negara dibenarkan mengundi secara pos namun rakyat Sabah di Semenanjung tidak diberikan hak sama.

"Tidak masuk akal bahawa rakyat Malaysia di London, Melbourne atau Singapura boleh mengundi secara pos, manakala rakyat Sabah di Kuala Lumpur, Johor atau Pulau Pinang tidak boleh. Adakah undi mereka kurang penting hanya kerana mereka tinggal dalam sempadan negara kita," katanya.

Tegasnya, dasar berkenaan tidak wajar kerana meletakkan garis pemisah antara rakyat Malaysia di luar negara dan rakyat Sabah yang merantau dalam negara, walhal kedua-duanya berhadapan kesukaran yang sama untuk kembali mengundi.

"Ini bukan soal keselesaan, ini soal keadilan. Undi pos untuk rakyat Sabah di Semenanjung bukan layanan istimewa, ia merupakan pembaharuan penting untuk memastikan penyertaan sama rata dalam proses demokrasi," katanya.

Anuar berkata, isu tersebut turut dibangkitkan Presidennya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan di Parlimen yang menyatakan bahawa kira-kira 300,000 pengundi Sabah berada di Semenanjung namun mungkin tidak dapat pulang mengundi kerana kos tiket penerbangan yang tinggi.

Tambahnya, langkah itu bukan sahaja dapat meningkatkan peratusan keluar mengundi, malah mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap integriti pilihan raya negara.

"Ketelusan bermula dengan penyertaan. Apabila rakyat Sabah diberikan akses mengundi yang sama seperti rakyat Malaysia di luar negara, ia menunjukkan bahawa Malaysia menghargai semua warganya secara sama rata dan serius dalam menegakkan keadilan demokrasi," katanya.

Jelasnya, akses demokrasi yang sama rata menjadi asas kepada perpaduan nasional yang sebenar.

"Tiada rakyat Malaysia yang harus dinafikan hak mengundi kerana faktor geografi. Jika kita mahu pilihan raya yang berwibawa dan perpaduan yang tulen, SPR mesti bertindak membetulkan ketidakseimbangan ini," katanya.