Khaliq Mehtab letak jawatan Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan Bersatu

SHAH ALAM - Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan parti itu.

Khaliq Mehtab dalam masa sama turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepercayaan yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Menurutnya, sepanjang memegang jawatan tersebut, beliau berusaha melaksanakan amanah dengan penuh integriti dan komitmen terhadap perjuangan parti.

“Bagaimanapun, saya akur bahawa perkhidmatan saya sebagai Ahli MPT telah dihentikan berikutan saya tidak menyokong sepenuhnya pendirian Presiden dalam beberapa perkara tertentu.

“Saya menghormati keputusan tersebut, namun sebagai Ahli MPT yang dipilih untuk memperkukuh institusi parti, saya percaya hak untuk menyuarakan pandangan dan pendirian yang berbeza merupakan sebahagian daripada semangat demokrasi dalam parti yang kita cintai ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, Khaliq Mehtab dalam kenyataan sama turut berpandangan, proses transisi kuasa wajar dilaksanakan secara tuntas, segera dan berhemah demi memperkukuh perpaduan serta hala tuju masa depan parti.

Pandangan itu katanya, lahir atas dasar kasih dan tanggungjawab terhadap parti, bukan atas niat untuk menentang kepimpinan.

“Akhir sekali, saya berharap agar pada masa akan datang, pelantikan ke Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dibuat berasaskan kebolehan, kredibiliti dan prinsip perjuangan, bukan sekadar untuk melahirkan barisan ‘Yes Man’.

“Parti yang kuat terbina daripada kepelbagaian pandangan dan keberanian menyatakan kebenaran,” katanya.