KUALA TERENGGANU – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim membidas kenyataan bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang mendakwa negeri-negeri Pantai Timur telah menerima manfaat pembangunan besar melalui Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM84 bilion.
Beliau berkata, kenyataan tersebut bukan sahaja tidak tepat dari segi angka, malah mengelirukan kerana tidak mengambil kira ketidakseimbangan pembangunan antara Pantai Barat dan Pantai Timur yang telah berlaku sejak sekian lama.
"Pertama, angka yang disebut Rafizi tidak benar. Berdasarkan laporan rasmi kerajaan dan syarikat pelaksana, kos sebenar ECRL ialah RM74.96 bilion, bukan RM84 bilion seperti yang didakwa.
"Kedua, adalah sangat tidak wajar membandingkan satu projek tunggal seperti ECRL dengan ratusan projek mega di Pantai Barat yang telah lama dinikmati," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.
Menurut beliau, jumlah keseluruhan projek utama yang dibangunkan di Pantai Barat melebihi RM160 bilion iaitu lebih dua kali ganda daripada nilai keseluruhan ECRL.
Katanya, antara projek besar yang dinikmati Pantai Barat termasuk MRT Kajang Line (RM21 bilion), MRT Putrajaya Line (RM56.93 bilion), MRT3 Circle Line (RM45 bilion), LRT3 (RM16.63 bilion), KLIA (RM10 bilion), KLCC (RM6 bilion), West Coast Expressway (RM6.9 bilion) dan PLUS Highway (hingga RM8.8 bilion).
"Itu belum termasuk pelabuhan besar seperti Port Klang, Penang Port, serta projek menaik taraf hospital, universiti dan jalan raya di Lembah Klang serta negeri-negeri Pantai Barat. Jika dikira berdasarkan kos semasa, nilainya tentu jauh lebih tinggi," katanya.
Jelas beliau, jurang pembangunan antara Pantai Timur dan Pantai Barat masih luas bukan kerana tiadanya projek besar di Pantai Timur, tetapi akibat penumpuan pembangunan di Barat yang telah lama membentuk ekosistem pelabuhan, logistik dan perindustrian lebih menarik kepada pelabur.
"ECRL hanyalah satu langkah kecil untuk menyeimbangkan semula pembangunan negara, bukan 'hadiah besar' yang boleh mengimbangi kelebihan berpuluh tahun pembangunan di Pantai Barat," ujarnya.
Ahmad Amzad turut menasihatkan Rafizi agar tidak menggunakan angka mengelirukan bagi menafikan realiti jurang pembangunan wilayah.
Katanya, dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sendiri menunjukkan kadar unjuran pertumbuhan ekonomi wilayah yang tidak seimbang, dengan Wilayah Timur hanya 4.7 peratus, berbanding 5 hingga 5.2 peratus di wilayah lain.
"Jika rancangan sebegini diteruskan, jurang pembangunan tidak akan dirapatkan, sebaliknya semakin melebar.
"Rakyat Pantai Timur berhak mendapat pembangunan dan peluang ekonomi yang adil setanding negeri-negeri lain," katanya.
Sebelum ini, Rafizi dalam hantaran di laman sosial mendakwa ECRL bernilai RM84 bilion merupakan projek paling mahal dalam sejarah yang menghubungkan Kelantan, Terengganu dan Pahang, namun masih wujud pihak yang menyatakan Pantai Timur dianaktirikan.