KOTA KINABALU – Pengasas sebuah pusat tahfiz dipercayai akan menjadi satu-satunya calon Parti Amanah Negara (Amanah) yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).
Ustaz Mohd Julpikar Ab Mijan diumumkan sebagai calon parti itu semasa Konvensyen Amanah Negeri Sabah 2025 yang dirasmikan oleh Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu di sini pada Ahad.
Mohd Julpikar merupakan seorang pendidik, aktivis sosial dan tokoh masyarakat dari Semporna yang aktif dalam bidang pendidikan serta pembangunan komuniti.
Selain itu, beliau juga terbabit sebagai usahawan dalam sektor pendidikan dan komuniti, menjadikannya antara figura muda berpotensi yang mampu membawa gagasan politik berteraskan nilai dan pembangunan masyarakat ke peringkat negeri.
Calon ini berkelulusan Sarjana Muda Hukum (Syariah dan Undang-Undang) dari Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim Riau, Indonesia serta mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran pendidikan, dakwah dan penglibatan dalam badan bukan kerajaan (NGO).
Antara pengiktirafan yang pernah diterima beliau termasuk Tokoh Maulidur Rasul Daerah Semporna 2021 dan Tokoh Ma’al Hijrah Daerah Semporna 2023.
Sementara itu, Mohamad dalam ucapannya berkata, selaras dengan pengumuman tersebut, beliau menyeru agar semua jentera parti mula digerakkan dan menggembleng tenaga secara tersusun bagi menghadapi PRN yang semakin hampir.
“PRN Sabah nanti memerlukan kesungguhan dan gerak kerja yang tersusun dari setiap peringkat. Amanah mesti berusaha keras untuk mendapatkan kerusi sulung kita di negeri ini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua ahli agar mengekalkan perjuangan berasaskan nilai, integriti dan keberanian moral, bukan semata-mata mengejar kemenangan politik.
“Kemenangan sebenar bukan hanya diukur melalui undi, tetapi melalui keyakinan rakyat terhadap kejujuran dan istiqamah perjuangan parti,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyatakan keyakinan bahawa dengan semangat kerja berpasukan dan keikhlasan dalam perjuangan, Amanah mampu menawan hati rakyat Sabah serta membawa suara mereka ke Dewan Undangan Negeri (DUN).
Untuk rekod, Naib Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Jaujan Sambakong, merupakan penyandang kerusi DUN Sulabayan, dan pada PRN lalu, beliau memperoleh 5,747 undi dalam pertandingan tiga penjuru.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka akan mengumumkan calon masing-masing secara serentak pada 9 September depan.