Rafizi belum terima saman Farhash

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menjelaskan beliau dan peguamnya belum menerima sebarang serahan saman yang difailkan oleh ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Menurutnya, mereka hanya mengetahui mengenai tindakan saman itu menerusi laporan media bahawa Farhash memfailkan saman terhadapnya di mahkamah berhubung dua video yang didakwa menjatuhkan reputasi ahli perniagaan berkenaan.

"Saya dan peguam saya belum mendapat serahan saman ini, malah kami hanya mengetahuinya dari laporan berita. Selalunya tindakan saman ini diserahkan dan dimaklumkan kepada yang kena saman.

"Oleh itu, peguam saya akan berurusan dan menunggu serahan saman ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Terdahulu, Farhash yang juga bekas setiausaha politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah terhadap bekas Menteri Ekonomi itu berhubung dua video yang dimuat naik di media sosial baru-baru ini.

Memetik laporan The Edge, saman itu difailkan pada 10 Oktober lalu melalui Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co selepas Rafizi didakwa gagal memohon maaf terhadap penyiaran dua video berunsur fitnah terhadapnya.

Video pertama dimuat naik pada 25 Julai, manakala video kedua disiarkan pada 20 Ogos lalu.

Rafizi memaklumkan, kes terbaharu itu merupakan kes mahkamah ke-17 yang dihadapinya sepanjang bergelar ahli politik.

"Bila kena saman, sudah tentu ia menambah beban kerana kita kena membayar kos guaman dan menghabiskan masa menyediakan hujahan kes. Perbicaraan pun memakan masa yang panjang," menurutnya.

Bagaimanapun, Rafizi berkata, beliau melihat proses mahkamah sebagai ruang untuk membentangkan hujah di sisi undang-undang serta menggunakan saluran undang-undang bagi mendapatkan maklumat dan memanggil saksi-saksi.

“Kalau saksi yang perlu dipanggil itu menteri atau Perdana Menteri, kita buat permohonan dengan mahkamah untuk memanggil saksi-saksi itu. Yang lain, kita serah kepada ALLAH SWT," kata beliau.