Kepimpinan Muhyiddin masih diterima majoriti ahli Bersatu – Harrison

SHAH ALAM – Kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin masih mendapat kepercayaan majoriti ahli parti dan wajar terus memimpin.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Harrison Hassan berkata, dakwaan bahawa Muhyiddin sudah tidak relevan merupakan pandangan cetek dan tidak berasas, malah tidak menggambarkan suara sebenar akar umbi parti.

“Gesaan supaya Presiden parti berundur adalah tidak masuk akal kerana individu yang cetek pemikiran politik serta tidak memahami organisasi parti akan membuat kenyataan sebegini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Harrison, majoriti ahli Bersatu yang setia kepada perjuangan masih yakin dengan hala tuju kepimpinan sedia ada yang dipilih secara sah oleh perwakilan pada pemilihan parti November tahun lalu.

“Kami mahu beliau terus menerajui parti ke hadapan dan bersedia bekerja keras bagi memastikan kemenangan majoriti kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” ujarnya.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap sebarang tindakan disiplin parti yang berlandaskan peraturan dan perlembagaan bagi membendung unsur khianat dalam kalangan ahli.

“Kami menyokong tindakan tegas terhadap mana-mana ahli yang bersekongkol atau merancang untuk melemahkan parti demi cita-cita sendiri,” tambah beliau.

Harrison yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kuala Selangor menegaskan bahawa parti itu bersama Perikatan Nasional (PN) kekal sebagai alternatif terbaik kepada kerajaan Madani yang dilihat gagal menyelesaikan masalah rakyat.

“Masyarakat kini menderita di bawah pentadbiran kerajaan Madani, dan Bersatu serta PN akan terus menjadi harapan baharu untuk rakyat,” jelas beliau.