KOTA KINABALU - Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mendakwa terdapat usaha untuk melumpuhkan parti itu dengan menawarkan Ketua-Ketua Bahagian supaya meletakkan jawatan dan keluar daripada parti.
Jeffrey berkata, pihaknya menerima laporan bahawa beberapa Ketua Bahagian telah dipanggil ke satu mesyuarat dan diminta membuat kenyataan keluar parti dengan disertakan tawaran wang tunai.
"Kami menerima laporan bahawa beberapa Ketua Bahagian telah dipanggil ke satu mesyuarat dan diminta meletakkan jawatan serta membuat kenyataan keluar parti. Mereka ditanya, 'berapa kamu mahu?'
"Ini bermakna politik wang kembali berleluasa, dan saya yakin ia akan terus berlaku. Mereka menggunakan wang untuk membeli pemimpin kita, terutama yang bukan calon. Saya juga tidak menolak kemungkinan calon-calon akan ditawarkan wang," dakwanya dalam sidang akhbar di sini, pada Ahad.
Katanya lagi, dua laporan awal sudah diterima melibatkan dua kawasan berbeza dan situasi itu menunjukkan budaya politik wang yang diamalkan di peringkat pusat masih belum berakhir.
"Kami sudah menerima dua laporan di dua kawasan dan saya sangat sedih mendengarnya. Inilah yang berlaku dahulu, dan masih berlaku sekarang. Kuala Lumpur masih memainkan politik 'cash is king'. Saya amat kecewa mendengarnya," dakwanya.
Bagaimanapun, Jeffrey memberikan amaran kepada rakyat Sabah untuk tidak mengulangi kesilapan lalu untuk jatuh ke perangkap mereka. Kerana suatu hari nanti, apabila Sabah menjadi lebih mundur daripada hari ini dan jatuh semula ke tangan parti-parti nasional, generasi akan datang akan 'meludah ke pusara mereka'," katanya.
Beliau berkata, perjuangan sebenar harus datang daripada rakyat yang bangkit mempertahankan hak dan memastikan kuasa politik kekal di tangan parti-parti tempatan.
“Lupakan seketika soal pemimpin. Saya harap rakyat biasa akan bangkit kali ini, berdiri dan dihitung. Pastikan kuasa dikembalikan kepada parti dan pemimpin tempatan supaya hak politik kekal di Sabah, dan negeri ini ditadbir oleh rakyat Sabah sendiri," katanya,
Jeffrey turut mengajak rakyat mencontohi negara dan negeri jiran seperti Brunei, Singapura dan Sarawak yang menunjukkan hasil perjuangan politik dan perpaduan rakyat masing-masing.
"Contohnya Singapura dan Brunei, Brunei tahu masa depan mereka akan suram jika menyertai Persekutuan, sebab itu mereka tidak menyertai Malaysia. Lihar mereaka sekarang, berdiri sebagai negara sendiri.
"Singapura pula, walaupun kecil, pernah digunakan dan akhirnya dikeluarkan daripada Malaysia, tetapi kini menjadi antara negara paling makmur di dunia. Sarawak juga contoh terdekat, apabila mereka bersatu dan menggunakan kekuatan itu untuk menuntut hak, lihatlah kedudukan mereka sekarang, jauh mendahului Sabah," ujarnya.
Beliau berkata, rakyat Sabah perlu berpendirian tegas menuntut pelaksanaan penuh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), laporan aporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1 dan Perlembagaan Persekutuan.
"Apa pengajarannya? Ia bermakna rakyat Sabah mesti berpendirian tegas. Kita mesti berjuang dan menuntut agar semua perkara yang termaktub dalam MA63, laporan IGC dan Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan sepenuhnya," katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan supaya politik wang harus dihentikan sedangkan mereka menguasai lebih banyak kerusi di Semenanjung.
"Sabah hanya mempunyai 73 kerusi, sedangkan di Semenanjung ada lebih 520. Mengapa perlu datang dan mengambil kerusi kita," katanya.