JOHOR BAHRU – MCA menyatakan kesediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah dan Terengganu, walaupun parti itu masih menunggu pengumuman rasmi calon daripada kepimpinan Barisan Nasional (BN).
Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pihaknya telah menghantar senarai nama calon bagi kedua-dua negeri berkenaan namun keputusan akhir hanya akan dimuktamadkan melalui watikah yang dikeluarkan oleh pengerusi.
“Setakat ini, kita belum umumkan apa-apa mengenai Sabah dan Terengganu. Pengerusi akan umumkan apabila semua sudah selesai.
"Lazimnya untuk BN, seminggu sebelum penamaan calon barulah diumumkan.
“Kita tunggu makluman oleh pengerusi. Senarai nama memang kita hantar, tetapi yang penting adalah watikah siapa akhirnya akan dipilih,” katanya kepada pemberita.
Ka Siong berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan MCA Johor, di sini, pada Ahad.
Mengulas persediaan MCA di Sabah, Ka Siong berkata, parti itu telah bertapak kukuh selama 34 tahun di Sabah dan kepimpinan di peringkat negeri kini digerakkan majoritinya oleh rakyat tempatan.
“Saya baru balik dari Sabah, mereka sudah berjaya. Mereka telah bertapak di sana 34 tahun dan rata-rata dipimpin oleh rakyat tempatan, anak Sabah. Jadi tiada isu di sana,” tegasnya.
Sementara itu, Ka Siong tidak menolak kemungkinan MCA akan turut mengetengahkan calon-calon muda bagi memberi nilai tambah kepada jentera parti di dua negeri terlibat.
“Ada juga (calon muda) dan kita akan pastikan persediaan jentera dan strategi terus diperkukuhkan,” ujarnya.