SHAH ALAM - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa membuat keputusan menolak cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tanpa perbincangan dengan Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN).
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mendakwa keputusan itu dibuat segera oleh Muhyiddin di hadapan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selepas beberapa ketua parti termasuk Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghadap baginda di Istana Negara pada 22 November 2022.
“Pada ketika itu tiada mana-mana parti politik yang memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan, menyebabkan baginda menitahkan cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan.
“Atas dasar prinsip, mungkin Tan Sri Muhyiddin tidak mahu bekerjasama dengan DAP atau kerana PN sudah memperoleh 115 kerusi. Itu mungkin menjadi sebab beliau menolak cadangan berkenaan,” katanya dalam program The Zaid Ibrahim Podcast yang disiarkan pada Isnin.
Menurutnya lagi, beberapa pimpinan kanan Pas dan Bersatu memaklumkan bahawa keputusan menolak cadangan Kerajaan Perpaduan itu tidak pernah dibincangkan dalam MT PN.
“Maknanya, keputusan dibuat serta-merta di hadapan Tuanku,” katanya.
Pada petang 22 November 2022, Muhyiddin dalam satu sidang media selepas menghadap Al-Sultan Abdullah memaklumkan bahawa baginda menitahkan cadangan supaya PN dan PH membentuk Kerajaan Perpaduan.
Namun, beliau menjelaskan kepada baginda bahawa PN berpegang kepada prinsip untuk tidak bekerjasama dengan PH sejak awal penubuhan gabungan itu.
Wan Ahmad Fayhsal, yang kini digantung keahlian Bersatu selama sepenggal berhubung isu akuan bersumpah (SD) sebelum ini berkata, peristiwa itu menjadi titik mula kepada kemelut dalaman Bersatu dan PN.
Katanya, PN sepatutnya mengambil masa berbincang dan meneliti titah penubuhan Kerajaan Perpaduan itu, bukannya menolak dengan segera.
Mengulas kemungkinan Muhyiddin boleh dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya menerima cadangan itu, beliau difahamkan mungkin wujud penggiliran jawatan kerana kedua-dua gabungan PH dan PN mempunyai kedudukan yang kuat.
“Apabila Tan Sri Muhyiddin menolak, Datuk Seri Anwar menerima. Maka Tuanku memberi ruang kepada beliau untuk memastikan Kerajaan Perpaduan dapat ditubuhkan. Pada asalnya, semua yang menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri sebelum itu menyokong Muhyiddin,” katanya.