SHAH ALAM - Pemilihan Armada Bersatu yang diadakan pada Oktober tahun lalu didakwa berlaku manipulasi selepas keputusan awal undian bagi jawatan Ketua Armada tidak memihak kepada Muhammad Hilman Idham yang kini menyandang jawatan tersebut.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa, berdasarkan penjumlahan undi sebenar, Muhammad Hilman sebenarnya tewas kepada pencabarnya, Akmal Zahin Zainal Zahir.
Bagaimanapun, katanya, ‘silap mata’ berlaku selepas Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) membatalkan keputusan beberapa bahagian yang memihak kepada Akmal Zahin.
“Muhammad Hilman, yang juga ‘orang’ Azmin (merujuk Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali), ini sebenarnya kalah.
“Undi yang perlu dikira hanya 1,000 lebih tapi tiga hari diperam. Berlaku banyak pembatalan undi yang akhirnya menunjukkan Muhammad Hilman menang,” katanya dalam program The Zaid Ibrahim Podcast yang disiarkan pada Isnin.
Beliau mendakwa proses pemilihan itu kotor dan penuh manipulasi hingga mendorongnya membangkitkan perkara tersebut secara langsung kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Pemilihan ini kotor, banyak manipulasi berlaku dan saya membangkitkan perkara ini kepada Presiden. Saya persoalkan bagaimana anda membuat keputusan ini, atas dasar apa?
“Saya berdepan dengan Presiden secara dalaman, bukan di media sosial,” katanya.
Pada 29 Oktober 2024, Muhammad Hilman, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, diumumkan secara rasmi sebagai Ketua Armada Bersatu bagi penggal 2024 hingga 2027, menewaskan Akmal Zahin dari Seputeh dengan majoriti 170 undi.
Dalam keputusan itu, Muhammad Hilman memperoleh 1,888 undi manakala Akmal Zahin mendapat 1,718 undi.
Wan Ahmad Fayhsal turut mendedahkan bahawa cadangan memperketat prosedur pemilihan parti pernah dibangkitkan sebelum ini.
Menurutnya, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, mencadangkan supaya prosedur operasi standard (SOP) pemilihan diperketat termasuk mewajibkan gambar dan video persidangan diambil serta gambar borang penjumlahan undi disertakan.
Pekeliling berhubung perkara itu ditandatangani Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dan Hamzah sebelum diluluskan, namun didakwa tidak dilaksanakan selepas ditolak pihak atasan.
“Bagaimanapun, ada pihak di peringkat tertinggi tidak bersetuju untuk kita lebih telus. Katanya tidak perlu ambil gambar atau tandatangan borang kerana ia mungkin memudaratkan. Saya tak tahu apa hujahnya,” katanya.
Beliau mendakwa keadaan itu menunjukkan wujud cubaan mengurangkan pengaruh Datuk Seri Hamzah, khususnya menjelang pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti.
“Ketika ini, majoriti dalam MPT menyokong Datuk Seri Hamzah kerana kepemimpinannya,” dakwa beliau.
Wan Ahmad Fayhsal turut menegaskan berlaku manipulasi pembatalan undi di beberapa bahagian besar termasuk Tanah Merah, yang disifatkannya tidak masuk akal dan menafikan hak ahli yang mengundi.