KOTA KINABALU - Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sugut, Datuk James Ratib memberi amaran tegas bahawa sesiapa sahaja yang bertanding menentang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kawasan itu akan kehilangan wang pertaruhan dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17)
Beliau yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah menegaskan bahawa jentera pilihan raya di kawasan Sugut telah bersiap siaga sepenuhnya sejak tiga bulan lalu walaupun calon rasmi GRS bagi kerusi tersebut masih belum diumumkan.
"Dari segi persediaan jentera parti di kawasan Sugut, memang sejak tiga bulan lepas kita sudah bersedia atas tiket GRS, walaupun calon belum diumumkan.
"Sebagai Ketua Bahagian dan juga Exco atau Menteri, saya sudah siap siaga memastikan calon GRS akan menang di Sugut,” katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.
Menurut James, segala kelengkapan dan keperluan kempen telah disediakan lebih awal, termasuk 12,000 bendera, 10,000 helai baju, serta kira-kira 2,000 keping papan lapis bagi pemasangan poster dan bahan kempen lain.
"Kita memang sudah cukup bersedia dan sesiapa sahaja yang bertanding di Sugut, kita akan pastikan mereka akan hilang deposit," tegasnya.
Mengenai kemungkinan beliau mempertahankan kerusi Sugut, James berkata, keputusan akhir akan diserahkan kepada kepimpinan tertinggi parti, namun beliau bersedia menggalas amanah tersebut sekiranya diberikan kepercayaan.
"Insya-ALLAH, kalau saya mendapat kepercayaan dan mandat daripada Presiden, saya akan menggalas tugas ini demi kesinambungan pembangunan di Sugut," katanya.
Diminta mengulas desas-desus mengenai hasrat Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Datuk Seri Dr Ronald Kiandee untuk bertanding di Sugut, James secara terbuka sedia berdepan untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
"Ya, Datuk Ronald tiada pilihan lain. Dia terpaksa datang ke Sugut.... Insya-ALLAH, pada pilihan raya akan datang, saya akan lawan dengan dia," katanya.
Dengan keyakinan tinggi terhadap sokongan rakyat serta kekuatan jentera GRS, James percaya Sugut akan terus kekal menjadi kubu kuat gabungan itu dalam PRN17 nanti.
James turut menegaskan bahawa rekod prestasi lima tahun beliau sebagai wakil rakyat Sugut cukup membuktikan komitmen GRS terhadap pembangunan rakyat di kawasan itu.
Katanya, antara pencapaian terbesar adalah penaiktarafan Daerah Kecil Paitan menjadi daerah penuh yang disifatkannya sebagai satu sejarah dan kebanggaan bagi rakyat Sugut.
"Penaiktarafan daerah Paitan ini adalah pencapaian besar dan menjadi kebanggaan kami rakyat Sugut.
"Selain itu, kita juga sudah ada dewan baharu bernilai RM2 juta yang sebelum ini gagal dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu," jelasnya.
Beliau berkata lagi, beberapa projek penting turut sedang dilaksanakan, termasuk pembinaan asrama dan rumah guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpangan yang telah tertangguh selama 10 tahun, serta projek pembinaan 200 unit rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Paitan.