SHAH ALAM - Pas didakwa lebih cenderung menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, susulan kepimpinannya dalam menggerakkan jentera Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, personaliti dan gaya kepimpinan Hamzah yang juga Timbalan Presiden Bersatu turut disenangi ramai termasuk ahli Parlimen kerajaan serta pembangkang.
Beliau mendakwa sokongan Pas terhadap Hamzah terserlah apabila Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menamakannya sebagai Ketua Pembangkang dalam satu mesyuarat selepas PN gagal membentuk kerajaan tanpa sebarang perbincangan terlebih dahulu.
“Dalam mesyuarat itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi PN) bertanya kepada Tuan Guru (Abdul Hadi) siapa yang Pas mahu namakan sebagai Ketua Pembangkang dan beliau terus menjawab, Pas setuju menamakan Datuk Seri Hamzah.
“Saya lihat Tan Sri Muhyiddin agak terkejut kerana Datuk Seri Hamzah ketika itu ialah Setiausaha Agung PN,” katanya dalam program The Zaid Ibrahim Podcast yang disiarkan pada Isnin.
Menurutnya, tindakan itu menunjukkan Pas mengiktiraf peranan besar Hamzah dalam menyatukan jentera Pas dan Bersatu yang membawa kepada kejayaan PN meraih kerusi terbanyak pada PRU15.
Wan Ahmad Fayhsal yang ketika itu Ketua Armada turut menceritakan situasi malam sebelum PRU15 apabila UMNO di bawah pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi pilihan kepada Pas sama ada kekal dengan Muafakat Nasional (MN) atau bersama Bersatu dalam PN.
“Majoriti dalam Pas ketika itu berkira-kira mahu bersama MN tapi mereka tidak mahu meninggalkan Bersatu. Tuan Guru kata tidak boleh, kalau MN sekadar UMNO dan Pas saja, tidak cukup.
“Siapa yang selamatkan Bersatu ketika itu untuk kekal dalam PN? Orang itu ialah Datuk Seri Hamzah,” katanya.
Menurut beliau, Hamzah yang ketika itu Menteri Dalam Negeri mempunyai maklumat tentang potensi keputusan pilihan raya dan berjaya meyakinkan Pas bahawa kekal bersama Bersatu dalam PN akan dapat bahagian besar kepada parti Islam itu.
Wan Ahmad Fayhsal yang kini digantung keahlian daripada Bersatu selama sepenggal berhubung isu akuan bersumpah (SD) berkaitan usaha mendesak pengunduran Presiden parti itu turut memuji peranan Hamzah selepas dilantik sebagai Ketua Pembangkang kerana berjaya menjadikan blok itu lebih tersusun dan kuat di Parlimen.
Bagaimanapun katanya, keadaan itu menyebabkan Hamzah kurang disenangi segelintir pimpinan Bersatu yang mendakwa beliau membayangi kepimpinan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin hingga pernah wujud usaha untuk menjatuhkannya sebagai Setiausaha Agung.
“Ada ketika hubungan Datuk Seri Hamzah dan Presiden agak renggang kerana ada orang ketiga mencucuk apabila beliau lebih ke depan dan mendapat liputan.
"Disebabkan beliau hanya Setiausaha Agung yang dilantik, ada yang pesan jangan membayangi Presiden.
"Bila beliau ke depan, ada pula teguran balik. Ini masalah yang dihadapi beberapa tahun ini,” dakwanya.