Jangan amalkan politik ugutan terhadap kerajaan Persekutuan - Hassan

JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegur tindakan sesetengah pihak yang mengamalkan politik ugutan terhadap kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu pembayaran 40 peratus hasil Sabah.

Hassan berkata beliau kasihan terhadap Kerajaan Madani apabila ada parti dan menteri dari Sabah yang mengugut kerajaan berhubung isu berkenaan.

“Ugutan politik itu berbunyi, ‘Jika Jabatan Peguam Negara (AGC) buat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengiktiraf hak perlembagaan Sabah berkaitan pembayaran 40 peratus hasil Sabah, maka menteri dalam kabinet kerajaan Persekutuan dari Sabah itu akan letak jawatan,’” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Hassan berkata, tindakan mengugut seperti itu tidak sihat dan disifatkan sebagai 'political ransom' yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Beliau menjelaskan, dalam Belanjawan Persekutuan 2026, Sabah menerima peruntukan tertinggi berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung termasuk Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah.

Katanya, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah memberikan kebenaran kepada pemohon untuk memfailkan semakan kehakiman dan telah membuat keputusan, maka adalah wajar AGC diberi ruang untuk membuat semakan terhadap alasan penghakiman tersebut.

“Perjalanan proses undang-undang tidak boleh dihalang. Berilah peluang kepada AGC menjalankan tugasnya jika kita menghayati prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan,” tegasnya.

Hassan turut mempersoalkan tindakan mengganggu fungsi mahkamah dengan memberi kata dua kepada kerajaan Persekutuan.

Beliau menjelaskan, sesuatu kes yang bermula di Mahkamah Tinggi boleh dirayu ke Mahkamah Rayuan dan seterusnya ke Mahkamah Persekutuan.

“Jika alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu kuat dari segi fakta dan undang-undang, tentu sahaja Mahkamah Rayuan akan mengekalkan keputusan tersebut. Begitu juga jika dirayu hingga ke Mahkamah Persekutuan,” jelasnya.

Tambah Hassan, isu tersebut melibatkan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, dan hanya Mahkamah Persekutuan yang berperanan membuat keputusan muktamad dalam hal keperlembagaan.

“Malaysia sebuah negara Persekutuan akan pecah jika politik ugutan digunakan untuk melemahkan kerajaan persekutuan. Biarlah proses undang-undang berjalan sepenuhnya secara tertib dari Mahkamah Tinggi hinggalah ke Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Jumaat memutuskan bahawa kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.

Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Datuk Celestina Stuel Galid yang menyifatkan pemberian khas dibuat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah sebagai 'tidak sah, ultra vires dan tidak rasional,' serta melanggar Perlembagaan Persekutuan.