SHAH ALAM – Walaupun sudah bersama dalam Kerajaan Perpaduan, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman mengakui persepsi lama terhadap DAP masih belum hilang sepenuhnya di sesetengah kawasan luar bandar.
Bagaimanapun, beliau menegaskan DAP komited memperkukuh komunikasi serta kerjasama rentas parti di semua peringkat bagi mengubah tanggapan itu.
“Persepsi dan sentimen yang terbentuk sejak puluhan tahun bukan mudah untuk diubah. Sebagai wakil rakyat dalam kerajaan perpaduan, tanggungjawab kami ialah menunjukkan kerjasama bukan sahaja di peringkat kepimpinan, tetapi juga di akar umbi.
“Contohnya di Bentong, saya bekerjasama dengan semua rakan dalam kerajaan perpaduan seperti UMNO, MIC dan mana-mana pihak yang boleh berganding bahu. Melalui program bersama, kita tunjukkan kesepakatan dan kebersamaan yang wujud dalam kerajaan hari ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian pada Rumah Terbuka Hari Deepavali Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, Papparaidu Veraman di Kompleks Perumahan Exco, Seksyen 7 di sini, pada Isnin.
Menurut beliau, kehadiran bersama pemimpin pelbagai parti dalam program di peringkat akar umbi membuktikan bahawa semangat perpaduan dan kerjasama antara komponen kerajaan berjalan dengan baik.
Dalam pada itu, mengulas mengenai peranan wanita dalam politik, Young Syefura berkata DAP sentiasa membuka ruang dan peluang kepimpinan kepada wanita termasuk menetapkan kuota 30 peratus bagi jawatan dalam parti.
“Dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) baru-baru ini, lebih 10 wanita terpilih tanpa perlu bergantung kepada kuota, termasuk saya sendiri. Ini menunjukkan kesedaran semakin meningkat terhadap pentingnya peranan wanita dalam politik," ujarnya lagi.
Beliau turut menegaskan usaha melahirkan pelapis wanita muda sentiasa menjadi fokus utama parti agar kesinambungan kepimpinan dapat diteruskan.