KUALA LUMPUR – Pas mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Hindu dengan harapan sambutan tahun ini membawa kebahagiaan, kedamaian dan kesejahteraan kepada semua lapisan masyarakat.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perayaan Pesta Cahaya itu turut mengingatkan manusia bahawa cahaya akan sentiasa mengatasi kegelapan manakala kebaikan pula akan mengungguli kejahatan walau sebesar mana cabaran yang dihadapi.
“Marilah kita menyuburkan semangat dan harapan abadi ini dalam kehidupan seharian sebagai sebuah keluarga besar kemanusiaan yang sentiasa berpihak kepada nilai kebaikan, kejujuran, keadilan, kasih sayang serta kebenaran yang disimbolkan oleh cahaya itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, dalam kemeriahan sambutan perayaan tahunan ini, masyarakat juga diingatkan agar tidak melupakan golongan yang kurang bernasib baik atau sedang berdepan kesukaran.
“Diharapkan kehangatan dan gemilang cahaya Deepavali dapat dirasai serta dikongsi oleh semua,” katanya.
Takiyuddin turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang sentiasa mengekalkan keharmonian serta perpaduan berbilang agama dan kaum yang menjadi kekuatan utama negara.