PASIR GUDANG - Tindakan pembangkang menggelarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘Perdana Menteri Telefon’ jelas menunjukkan sikap tidak matang dan dangkal dalam memahami peranan diplomasi antarabangsa.
Menurut Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pasir Gudang, Murad Jailani, segelintir pimpinan serta penyokong pembangkang itu tidak menyedari tindakan Perdana Menteri itu adalah satu bentuk usaha diplomasi yang membuahkan kejayaan.
“Hubungan baik Perdana Menteri dengan pemimpin dunia dan rakan serantau telah membuka ruang besar kepada Malaysia.
“Bukan sahaja bukan sahaja bagi memperkukuhkan ekonomi tetapi dalam membantu isu-isu kemanusiaan seperti pembebasan peserta misi Sumud baru-baru ini yang berjaya diselesaikan melalui saluran diplomatik.
“Ironinya, sewaktu Perikatan Nasional (PN), memegang tampuk kuasa, banyak urusan penting negara gagal diselesaikan dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Difahamkan, pada Ahad, Anwar dilaporkan membidas dakwaan itu dan menyatakan usaha beliau menghubungi pemimpin dunia bukan sesuatu yang sia-sia.
Malah, sebaliknya telah membuahkan hasil dalam membantu menyelesaikan beberapa konflik serantau termasuk antara Kemboja dan Thailand.
Tambah Murad, ketika PN berkuasa, pelaburan asing merosot teruk akibat tiada keyakinan pelabur antarabangsa, hubungan luar negara yang lemah hingga Malaysia dilihat terasing di pentas serantau.
Katanya, dari segi pentadbiran pula dilihat bercelaru dan tidak stabil dengan pertukaran menteri yang kerap, dasar tidak konsisten selain gagal mengurus bantuan rakyat secara cekap menyebabkan banyak bantuan lewat sampai atau tidak tersalur.
“Krisis kepercayaan dalam kalangan pelabur dan masyarakat antarabangsa terhadap keutuhan politik Malaysia.
“Kini terdapat pula cubaan memperkecilkan usaha Anwar yang sedang bekerja keras memperkukuh imej Malaysia di mata dunia hanya tindakan murahan untuk menutup kegagalan sendiri.
“Rakyat hari ini lebih matang menilai, mereka melihat bagaimana pendekatan diplomasi dan hubungan antarabangsa, Perdana Menteri telah mula membuahkan hasil kepada kestabilan ekonomi, pelaburan baharu dan kesejahteraan rakyat,” katanya.