KOTA KINABALU – Parti Bersatu Sabah (PBS) menawarkan diri untuk mengetuai jentera pilihan raya bagi penyandang lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang mengambil keputusan untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Biro Politik PBS yang dipengerusikan oleh Pemangku Presiden, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Beliau berkata, Joachim turut mengarahkan bahagian PBS di lima kawasan berkenaan iaitu Sook, Bingkor, Paginatan, Liawan dan Tulid untuk memulakan perbincangan dengan ADUN terlibat iaitu Datuk Ellron Angin, Datuk Robert Tawik, Datuk Abidin Madingkir, Datuk Annuar Ayub dan Datuk Flovia Ng.
"Kawasan ini antara yang mempunyai kekuatan akar umbi PBS yang kukuh dan aktif. Parti yakin dengan menggabungkan sumber dan bekerjasama di peringkat bawah, GRS dapat mengekalkan momentumnya serta terus meraih keyakinan pengundi dalam PRN akan datang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Joniston yang juga Ketua Penerangan GRS berkata, PBS telah lama menjalinkan kerjasama baik dengan pemimpin berkenaan di peringkat akar umbi dan akan terus memperkukuhnya dalam semangat perpaduan GRS.
Menurutnya, sokongan PBS itu berpaksikan kefahaman bahawa kerjasama dan kepercayaan antara parti komponen GRS penting bagi mengekalkan kestabilan politik serta memastikan pembangunan sampai kepada rakyat.
"Keputusan ini dibuat atas semangat tanggungjawab bersama untuk memelihara kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap GRS, selain meneruskan usaha yang telah kita mulakan bersama demi manfaat masyarakat," katanya.
Sebelum itu, lima ADUN tersebut mengambil pendirian untuk kekal bersama GRS walaupun STAR membuat keputusan untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).