'Tak kan saya pandu lori sampah?' - Shafie Apdal jawab isu sampah di Semporna

KOTA KINABALU – Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menempelek pihak tertentu yang menuding jari kepadanya berhubung isu sampah yang tular di Semporna, sedangkan kerajaan sedia ada telah mentadbir negeri itu selama lima tahun serta menguruskan peruntukan berbilion ringgit.

Mohd Shafie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang menegaskan bahawa isu kebersihan di Semporna seharusnya ditangani oleh pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri, bukannya dijadikan modal politik untuk menyalahkannya.

"Dulu, ketika saya menjadi kerajaan, saya berikan RM30 sehari untuk anak-anak muda pungut sampah plastik di laut. Sekarang mereka adalah kerajaan, tapi ada sampah di Semporna salah saya, ada rasuah di Sabah salah saya. Mereka ambil duit, saya pula dipersalahkan bila air tiada lima tahun.

"Mereka jadi kerajaan, salah saya elektrik terputus di merata tempat – di Tambunan, di Keningau, di Long Pasia. Salah saya, sedangkan mereka yang mentadbir selama lima tahun dan menguruskan wang sebanyak RM6.7 bilion. Jadi, ke mana wang itu pergi?

"Takkan saya pula yang perlu memandu lori untuk kutip sampah? Sudah ada pegawai daerah, sudah ada majlis daerah, mereka yang diberi tanggungjawab, diberi gaji dan kemudahan oleh kerajaan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Warisan, di Kolombong pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pelbagai tuduhan susulan tularnya imej Semporna sebagai daerah kotor yang turut mendapat komen daripada pempengaruh yang melawat kawasan tersebut.

Malah, isu sampah di Semporna turut mendapat perhatian Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang sebelum ini menyatakan bahawa wakil rakyat juga bertanggungjawab memantau dan memastikan kerja-kerja pembersihan dijalankan.

Mengulas kenyataan itu, Mohd Shafie berkata, beliau tidak menolak tanggungjawab sebagai ahli Parlimen untuk memastikan kebersihan kawasan dijaga, namun pelaksanaannya tetap terletak di bawah bidang kuasa kerajaan tempatan.

"Saya akan tanya nanti di Parlimen kepada Nga Kor Ming sendiri, adakah tugas ahli Parlimen untuk memandu lori angkut sampah? Tanggungjawab sebenar ialah memastikan sistem di bawah pentadbiran daerah dan majlis tempatan berfungsi," katanya.

Beliau turut menempelak tindakan segelintir pihak yang menggunakan isu kebersihan di Semporna sebagai senjata politik untuk menjatuhkan reputasi kawasan pelancongan berkenaan.

"Jangan jadikan isu sampah sebagai alat politik. Kalau Semporna kotor, Pulau Gaya, Sandakan, Batu Sapi pun ada masalah yang sama. Ini bukan soal politik, tapi soal pengurusan," ujarnya.