KOTA KINABALU – Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir mendakwa Parti Warisan (Warisan) sebagai punca utama ketidakstabilan politik di Sabah serta menyumbang kepada budaya ‘katak’ apabila enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) bertindak melompat parti.
Menurut beliau, kestabilan politik merupakan asas kepada kemakmuran rakyat, namun sepanjang pentadbiran Warisan, negeri itu menyaksikan episod paling tidak stabil dalam sejarahnya.
“Warisan membentuk kerajaan pada 2018 bukan atas mandat rakyat, tetapi hasil pengkhianatan enam ADUN BN yang melompat parti.
“Kerajaan yang lahir daripada pengkhianatan tidak akan bertahan lama. Warisan tumbang dengan cara yang sama akibat budaya lompat parti yang mereka sendiri mulakan.
“Inilah wajah sebenar politik Warisan penuh helah, tiada prinsip, dan sanggup menggadai kepercayaan rakyat demi kuasa sementara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Suhaimi turut mendakwa Warisan gagal menjamin kestabilan apabila dasar sering berubah, pembangunan terbantut dan kepimpinannya lebih menumpukan perebutan kuasa daripada menjaga kebajikan rakyat.
“Selama 26 bulan pemerintahan Warisan, Sabah lumpuh. Dasar bertukar arah hampir setiap bulan, pelabur hilang keyakinan dan pembangunan terhenti separuh jalan.
“Ketika rakyat berdepan tekanan ekonomi dan pandemik Covid-19, kepimpinan Warisan pula sibuk berpolitik dan berebut kuasa,” ujarnya.
Ahli Parlimen Libaran itu turut menegaskan bahawa kewujudan undang-undang anti lompat parti selepas kejatuhan kerajaan Warisan membuktikan tindakan mereka sebelum ini telah mencemarkan integriti sistem demokrasi.
“Apa yang mereka anggap sebagai strategi politik sebenarnya menjadi pengajaran besar kepada seluruh negara bahawa kerajaan yang dibina atas pengkhianatan tidak akan kekal.
“Peribahasa Melayu menyebut, ‘rumah tanpa tiang akan roboh’. Begitulah Warisan – kerajaan tanpa tiang kepercayaan rakyat. Mereka bukan pagar yang menjaga padi, tetapi pagar yang memakan padi.
“Warisan perlu bercermin. Kegagalan mereka bukan kerana orang lain, tetapi kerana kerakusan sendiri,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Suhaimi menegaskan bahawa BN Sabah komited mempertahankan kestabilan dan menolak politik khianat yang memecahbelahkan rakyat.
“Sabah tidak boleh lagi dijadikan pentas politik ‘katak’. Cukuplah rakyat menjadi mangsa kerakusan kuasa Warisan.
“Hanya kerajaan yang stabil dan berprinsip mampu membawa Sabah ke arah kemajuan sebenar,” tegas beliau.