KOTA KINABALU - Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dilihat agak beremosi hingga mengalirkan air mata ketika menjawab pertanyaan wartawan berhubung perkembangan semasa melibatkan partinya yang kini berdepan kemelut dalam memperjuangkan hak rakyat.
Ketika ditanya mengapa beliau tidak dapat menahan air mata, Jeffrey berkata, ia lahir daripada perjuangan panjang yang pernah membawanya ke penjara suatu ketika dahulu.
“Sebab dulu saya berjuang dan saya masuk penjara. Selepas itu saya keluar. Masih belum selesai. Tapi ada kemajuan. Sampai bila kita kena pecah dan diperintah. Sampai bila kita rugi.
“Kita kena berhenti sekejap. Kita kena buat keputusan,” katanya dengan nada penuh emosi ketika ditemui pemberita sebaik tiba di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini pada Selasa.
Sebelum itu, beliau diminta mengulas mengenai status lima pemimpin partinya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengambil keputusan untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), walaupun STAR berpendirian untuk tidak lagi bersama gabungan itu dan akan bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Mengulas mengenai pendirian STAR untuk keluar daripada GRS, Jeffrey menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat selepas mendengar suara rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Itu sebab kami keluar daripada GRS. Sebab kami mendengar keluhan daripada rakyat, suara-suara daripada rakyat, semua lapisan masyarakat. Sama ada di dalam talian, di kedai kopi atau dalam pertemuan-pertemuan, semua lapisan masyarakat.
“Kita tidak boleh melawan kecenderungan rakyat sebab mereka yang menentukan. Sebab itulah kalau kita tanya siapa yang betul dan siapa yang tidak, selepas pilihan rakyat baru kita tahu,” katanya.
Jeffrey turut menegaskan bahawa perjuangannya sudah lama dan kini tiba masanya untuk semua parti tempatan bersatu, seperti mana kekuatan yang ditunjukkan Sarawak melalui perpaduan politik mereka.
“Tengok Sarawak, bila Sarawak bergabung, bersatu, mereka kuat dan bila mereka kuat, mereka boleh mendapat apa yang mereka inginkan, dan ini kekuatan perpaduan.
“Kedua, kepimpinan. Bila sudah bersatu, apa pimpinan buat? Seperti Abang Jo (Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg), apa dia buat? Siapa kata kita tidak boleh contohi Sarawak, kita sama-sama," ujarnya.
Sebelum itu, ketibaan beliau dari Kuala Lumpur sekitar jam 5 petang disambut meriah oleh kira-kira 200 penyokong yang turut membawa banting sebagai tanda sokongan terhadap pendirian dan perjuangannya dalam parti.
Turut hadir menyambut kepulangan beliau ialah Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee, yang turut berkongsi pendirian sama untuk tidak kekal dalam komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).