Lima ADUN STAR diberi tempoh hingga esok untuk kembali -Jeffrey Kitingan

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) memberikan tempoh sehingga esok kepada lima pemimpinnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk kembali ke pangkuan parti selepas mereka memilih untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Presidennya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, parti tidak menghalang keputusan mereka, namun menegaskan jika mereka tidak mendengar keluhan serta menghormati sentimen rakyat, maka biarlah rakyat sendiri yang menentukannya.

"Kita akan mengadakan mesyuarat dan akan buat keputusan tersebut. Ramai orang yang bersedia untuk mengganti mereka. Saya telah memberikan mereka sepatutnya satu minggu dan separuh daripada masa itu pun telah berlalu.

"Memandangkan kerusi itu kita yang hadiahkan kepada mereka, sudah tentunya kerusi itu akan kita bagi kepada calon-calon baharu. (Beri masa) sampai esok," katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status lima pemimpin berkenaan selepas empat daripada mereka dilihat hadir pada majlis pertemuan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu semasa pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin.

Mereka yang hadir pada majlis itu ialah Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Ellron Angin yang juga ADUN Sook; Datuk Abidin Madingkir (Paginatan), Datuk Annuar Ayub (Liawan) dan Flovia Ng (Tulid).

Sementara itu, seorang lagi Timbalan Presiden STAR yang juga ADUN Bingkor, Datuk Robert Tawik walaupun tidak hadir pada majlis itu, beliau dikatakan turut mengambil langkah sama kekal menyokong GRS.

Mengulas lanjut, Jeffrey berkata, tindakan memberikan kerusi berkenaan kepada calon baharu bertujuan membuka ruang kepada pejuang yang setia bersama parti.

"Ini mungkin peluang kita untuk memberi ruang kepada orang muda, pejuang-pejuang yang setia dan pembaharuan di dalam," jelasnya.

Ditanya mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi STAR selepas tidak lagi bersama GRS, beliau memaklumkan perkara itu masih dibincangkan bersama parti-parti tempatan lain memandangkan terdapat 73 kerusi DUN keseluruhannya.

"Kita bersama-sama dengan parti-parti lokal yang lain, semua 73 kerusi. STAR sahaja banyak, tapi kita belum muktamadkan lagi," katanya.