Bersatu Perak pertahan Radzi Manan

IPOH – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak tampil mempertahankan Pengerusi Lembaga Disiplin parti itu, Datuk Mohammed Radzi Abdul Manan susulan dakwaan yang mengaitkannya dengan pengaruh luar dan konflik kepentingan dalam parti.

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Perak, Mohader Ahmad Mohammad Ayob menegaskan tuduhan berkenaan tidak berasas serta menafikan wujud sebarang campur tangan dalam urusan lembaga disiplin parti itu.

Menurutnya, Mohammed Radzi melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh amanah dan profesionalisme.

"Tuduhan yang cuba mengaitkan Datuk Radzi Manan dengan mana-mana pengaruh luar adalah tidak benar sama sekali. Beliau menjalankan tugas dengan jujur dan bertanggungjawab.

"Tindakan mengheret nama beliau dalam polemik dalaman bukan sahaja tidak adil tetapi juga tidak mencerminkan kematangan dalam berorganisasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohader Ahmad turut menegur tindakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang juga Ketua Bersatu Bahagian Pasir Salak kerana mengeluarkan kenyataan media berhubung isu itu yang menurutnya boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli.

Katanya, pandangan atau teguran terhadap parti seharusnya disalurkan melalui saluran rasmi dan bukan dibuat secara terbuka kerana boleh menjejaskan imej Bersatu.

“Jika benar ikhlas untuk parti, gunakan saluran dalaman dengan beradab dan bukti yang jelas.

"Bukan membuat kenyataan media yang mengundang persepsi buruk dan membuka pekung sendiri,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut menjelaskan bahawa Ketua Badan Pimpinan Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, tidak terlibat dalam kenyataan media Ketua-Ketua Bahagian pada 30 September lalu dan kekal berkecuali bagi memberi ruang kepada Lembaga Disiplin menjalankan siasatan secara bebas.

Mohader Ahmad menyeru semua ahli Bersatu agar terus berdisiplin, tidak terpengaruh dengan kenyataan beremosi serta bersama memperkukuh perpaduan dalam parti.

Pada Isnin media melaporkan Zainol Fadzi menggesa Lembaga Disiplin Bersatu bebas daripada sebarang campur tangan dan konflik kepentingan bagi memastikan integriti parti terus dihormati.

Sehubungan itu kedudukan Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohammed Radzi Abdul Manan wajar dikaji semula memandangkan beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan dua pemimpin tertinggi parti.

Untuk rekod, Mohammed Radzi merupakan bapa kepada Ahli MPT Bersatu, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan bapa mentua kepada Ahmad Faizal yang juga Naib Presiden Bersatu.