IPOH – Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di peringkat bahagian tidak seharusnya mendahului Jawatankuasa Lembaga Disiplin parti dalam menentukan sebarang hukuman terhadap mana-mana pemimpin yang dihadapkan ke jawatankuasa berkenaan.
Ketua Bersatu Bahagian Pasir Salak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, desakan oleh 14 Ketua Bahagian Bersatu di Perak agar tindakan diambil terhadap beberapa pemimpin tertentu termasuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dalam satu kenyataan pada 30 September lalu disifatkan tidak wajar.
Jelas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu, gesaan berkenaan dilihat mendahului proses siasatan rasmi oleh lembaga disiplin parti.
“Begitu juga hantaran Facebook secara terbuka oleh seorang Ketua Bahagian Bersatu di Perak yang mendesak tindakan diambil terhadap dua Ketua Bahagian di Perak kononnya menjadi ejen untuk menjatuhkan Presiden Parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah satu tuduhan tidak berasas.
“Saya anggap ia sangkaan buruk serta andaian yang dibuat tanpa melalui proses siasatan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Zainol Fadzi berkata, sebarang aduan perlu disalurkan secara rasmi kepada parti dan bukan melalui kenyataan media terbuka atau media sosial.
Dalam pada itu, beliau menggesa Lembaga Disiplin Bersatu bebas daripada sebarang campur tangan dan konflik kepentingan bagi memastikan integriti parti terus dihormati.
Jelas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu, adalah penting lembaga itu menjalankan siasatan dengan adil tanpa sebarang pengaruh atau kepentingan pihak tertentu.
Menurutnya, sehubungan itu kedudukan Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohammed Radzi Abdul Manan wajar dikaji semula memandangkan beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan dua pemimpin tertinggi parti.
"Keadaan ini menimbulkan kebimbangan berlakunya konflik kepentingan dalam urusan siasatan dan pendengaran aduan oleh Jawatankuasa Lembaga Disiplin Parti.
"Saya juga berasa pelik secara tiba-tiba Jawatankuasa Lembaga Disiplin Parti aktif melayan aduan selepas insiden dalam Perhimpunan Agung Tahunan sedangkan banyak aduan selepas PRU15 hingga pemilihan parti di peringkat bahagian pada tahun 2024 tidak pernah diambil peduli oleh jawatankuasa berkenaan,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik itu turut menggesa Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu serta Jawatankuasa Lembaga Disiplin Parti mengambil pendirian sewajarnya dalam memastikan integriti parti tidak tercemar dan terus dihormati oleh ahli.
Pada 30 September lalu, media melaporkan beberapa ketua-ketua bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Perak mendesak tindakan disiplin dikenakan terhadap Wan Saiful berhubung kenyataan yang didakwa bercanggah dengan dasar dan disiplin parti.
Mereka menegaskan kenyataan yang dibuat Wan Saiful bersama beberapa pemimpin bahagian lain pada Isnin itu bukan sahaja mengelirukan, malah menjejaskan imej Bersatu di mata rakyat.