Hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan penting demi masa depan Sabah - Hajiji

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa hubungan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan amat penting demi masa depan serta kemajuan Sabah.

Beliau berkata, ketika ini kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) mengekalkan hubungan harmoni dengan kerajaan Persekutuan, di mana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menunaikan pelbagai tuntutan kepada Sabah.

"Sekarang kerajaan negeri adalah GRS–PH. Hubungan baik kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan begitu baik, di mana tuntutan kita dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), semasa PMX (Perdana Menteri) inilah kita mendapat sembilan penurunan kuasa diberikan kepada negeri Sabah.

"Jadi ini menunjukkan bahawa hubungan yang baik itu perlu diteruskan. Lagipun, dalam kerajaan negeri sekarang ialah kerajaan GRS–PH, takkan kerjasama ini kita tidak teruskan,” katanya ketika sidang akhbar selepas mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, pada Isnin.

Hajiji turut menegaskan bahawa hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan bukan sekadar keperluan politik, tetapi juga asas kepada pembangunan dan kestabilan negara.

"Kita mesti tahu bahawa hubungan negeri dengan Persekutuan amat penting sekali untuk masa depan dan juga untuk kemajuan bersama.

"Kenapa kita harus bergaduh dengan kerajaan Persekutuan? Kerajaan itu kerajaan kita juga.

"Di samping kita memimpin dan menuntut hak negeri serta mempertahankan hak Sabah, kita juga harus menjaga kepentingan negara kita. Itu kepercayaan saya. Jangan kita jaga kepentingan negeri tapi robohkan kepentingan negara, itu tidak betul," tegasnya.

Sementara itu, ditanya mengenai pembahagian kerusi antara GRS dan PH, beliau memaklumkan perkara itu akan diputuskan dalam masa terdekat.

"Insya-ALLAH, agihan kerusi akan dimuktamadkan dalam masa terdekat ini dan tentu sekali apabila kita bekerjasama dengan rakan kita PH, GRS akan menyokong sepenuh-penuhnya rakan kita yang akan berkerjasama," katanya.

tamat