KOTA KINABALU – [DIKEMAS KINI] Perang politik antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan dua bekas parti komponennya, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) serta Parti Maju Sabah (SAPP), dijangka akan bermula apabila kedua-dua parti itu berkemungkinan meletakkan calon di kerusi yang turut ditandingi gabungan tersebut.
Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, memandangkan STAR dan SAPP kini bukan lagi sebahagian daripada gabungan itu, pertembungan antara mereka pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) tidak dapat dielakkan.
“Kalau sudah keluar, memang berlanggarlah itu,” katanya ringkas kepada pemberita selepas menghadiri majlis pertemuan bersama Ahli-Ahli Yang Berhormat kerajaan di Dewan Bankuasi Menara Kinabalu, di sini, pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah akan berlaku pertembungan antara GRS dan dua bekas parti komponennya yang memutuskan untuk bertanding secara solo pada PRN kali ini.
Ditanya lanjut mengenai perkara itu, Hajiji berkata, GRS yakin akan berdepan calon daripada kedua-dua parti berkenaan pada pilihan raya akan datang.
“Mereka keluar dan menggunakan logo sendiri, tentu mereka akan letakkan calon di mana mereka suka dan sudah tentu, saya amat yakin kita juga akan berlawan dengan calon-calon STAR dan SAPP," katanya.
Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada keluarnya STAR, yang sebelum ini dilihat mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan pengundi Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus akan memberi kesan kepada GRS, beliau menegaskan bahawa Parti Bersatu Sabah (PBS) kekal bersama gabungan itu dan diyakini mampu mengimbangi pengaruh berkenaan.
"Kita amat yakin PBS bersama-sama kita. Kita juga yakin kekuatan dan pengaruh PBS cukup kuat untuk membantu," katanya.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada terdapat kemungkinan STAR dan SAPP akan kembali bekerjasama dengan GRS selepas PRN nanti, Hajiji menegaskan bahawa perkara itu tidak berbangkit.
“Itu tidak timbul," katanya ringkas.
Sebelum itu, dalam sidang akhbar tersebut empat ADUN dari STAR kelihatan turut hadir iaitu Datuk Ellron Angin (Sook), Datuk Abidin Madingkir (Paginatan), Datuk Annuar Ayub (Liawan) dan Flovia Ng (Tulid).