Tindakan Hamzah desak PMX letak jawatan tidak wajar - Hassan Karim

JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegur tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan ketika negara sedang berdepan krisis melibatkan 23 rakyat Malaysia ditahan rejim zionis Israel.

Hassan berkata, seruan Hamzah pada petang Sabtu dalam perhimpunan di Kuala Lumpur yang menuntut Perdana Menteri meletak jawatan sangatlah tidak bertanggungjawab.

"Seruan itu keluar dari minda dan mulut Ketua Pembangkang Parlimen. Kalau pun nak jatuhkan kerajaan bukan pada saat ini. 23 orang rakyat Malaysia yang menyertai pelayaran Global Sumud Flotilla telah ditahan oleh rejim Zionis Israel.

“Sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Hamzah sepatutnya memberi sokongan kepada usaha Anwar untuk membebaskan rakyat Malaysia dari penjara Israel,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, fokus utama dalam waktu beberapa hari ini ialah pembebasan 23 rakyat Malaysia itu dan Perdana Menteri telah melakukan sebaik mungkin untuk membawa mereka pulang dengan selamat ke tanah air.

“Kini ternyata langkah diplomasi Anwar sebagai Perdana Menteri telah mendatangkan hasilnya. Semua 23 warganegara Malaysia berjaya diselamatkan,” katanya.

Hassan berkata, Hamzah perlu memahami bagaimana negara berdepan dengan musuh luar seperti Israel.

“Prinsipnya mudah. Apabila kita berdepan dengan musuh dari luar negara maka semua pihak dalam Malaysia baik kerajaan dan pembangkang mesti bersatu.

“Dalam hal 23 orang rakyat Malaysia yang ditahan oleh Israel itu, maka nyawa mereka mesti kita selamatkan. Inilah tanggungjawab kerajaan,” ujarnya.

Beliau berkata, selepas rakyat selamat pulang ke tanah air, Ketua Pembangkang bebas mengkritik isu lain dalam sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung pada 6 Oktober ini.

“Tetapi satu hal yang Ketua Pembangkang perlu akur iaitu dalam keadaan genting, cemas yang menyangkut nyawa 23 rakyat Malaysia di tangan Zionis Israel, ternyata Anwar telah lulus dalam ujian itu.

“Rasanya eloklah dan amat tinggi budi pekerti Hamzah sebagai Ketua Pembangkang Malaysia jika beliau sanggup mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Anwar dan kerajaan Malaysia pada hari esok di Parlimen kerana telah berjaya membebaskan 23 rakyat kita dari penjara rejim Zionis Israel dengan selamatnya,” katanya.