DAP Perak tidak boleh menang tanpa sokongan Melayu - Pas

SHAH ALAM - DAP Perak perlu menyedari bahawa parti itu tidak akan mampu membentuk kerajaan negeri tanpa sokongan pengundi Melayu, sambil menyifatkan penggunaan istilah ‘gelombang hijau’ sebagai cubaan menakut-nakutkan rakyat.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, meskipun parti itu telah menguasai 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, angka tersebut dianggap jumlah maksimum yang boleh dipegang mereka berikutan kesemua kawasan berkenaan majoritinya bukan Melayu.

“Untuk capai 30 kerusi bagi membentuk kerajaan, DAP perlukan sekurang-kurangnya 12 kerusi majoriti Melayu lagi.

“Mustahil itu akan berlaku jika rakyat terus bersatu di bawah panji Islam dan perjuangan sebenar,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Beliau mengulas mengenai seruan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, yang meminta rakyat menolak pengaruh ‘gelombang hijau’ daripada terus bertapak di negeri itu ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Negeri Ke-23 di Ipoh.

Tambah Pesuruhjaya Pas Perak itu, rakyat kini semakin celik politik apabila dapat menilai parti yang benar-benar memperjuangkan kepentingan negara.

“Mereka tahu siapa yang bercakap untuk rakyat, negara dan siapa pula yang berselindung di balik slogan palsu. Penyokong akar umbi UMNO sendiri pun kini sudah nampak tembelang DAP ketika bersama dalam kerajaan perpaduan hari ini.

“Terima kasih kepada UMNO-BN kerana menolak Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA). Sekarang barulah mereka sedar apabila DAP berada dalam kerajaan, siapa sebenarnya yang untung dan siapa yang rugi.

“Sebab itu sekarang barulah mereka tahu DAP tidak berubah, mungkin UMNO yang semakin rebah,” katanya.

Idris berkata, Pas dan Perikatan Nasional (PN) akan memastikan DAP tidak lagi berpeluang menjadi kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan.

“Rakyat bukan lagi mudah diperdaya dengan retorik. Orang bukan Islam pun sudah nampak pemimpin DAP ini banyak bercakap tetapi tidak serupa bikin.

“Sewaktu belum berkuasa, mereka gah melaungkan kononnya mahu memperjuangkan integriti dan membela kos sara hidup rakyat, tetapi setelah berkuasa, semuanya lesap,” katanya.