SANDAKAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa syarat untuk menjadi pemimpin kerajaan mestilah bersih, mempunyai dasar yang jelas serta menjaga kebajikan rakyat.
Beliau berkata, pada musim pilihan raya, dalam kalangan pemimpin atau calon, masing-masing ingin menjadi hero dan kualiti menjadi pemimpin perlu dibuktikan kepada rakyat.
"Saya terangkan supaya rakyat tidak ditipu, orang datang sini (mahu jadi calon pilihan raya) semua berlagak sebagai pejuang … pemerintah mesti bersih.
"Yang kedua, dasar mesti jelas supaya orang luar tengok dan datang ke Malaysia berkeyakinan untuk melabur, ketiga dasar kita juga mesti jaga rakyat,” kata Anwar yang juga Presiden PKR semasa berucap pada Program Rapat Umum dan Himpunan Keadilan bersempena dengan 27 Tahun Reformasi di Dewan Yu Yuan, di sini malam ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, dalam Pilihan Raya Negeri Sabah nanti calon pemimpin yang dipilih rakyat sama ada daripada parti nasional atau parti tempatan mestilah boleh melaksanakan tugas dengan baik.
"Yang bertanding ini ialah orang Sabah, sama ada parti itu parti nasional atau parti Sabah, itu pilihan rakyat untuk menentukan kerajaan negeri.
"Oleh itu, yang patut kita pilih orang (calon) itu mestilah baik, orang itu jangan curi (duit rakyat) … orang itu boleh kerja dengan baik, boleh kerja dengan kerajaan Persekutuan," katanya.
Anwar berkata, melalui pemimpin yang bertanggungjawab, Malaysia secara keseluruhan mampu menjadi negara dengan ekonomi yang paling berjaya di rantau ini.
Mengambil contoh pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) di Sabah yang sebelum ini mengalami kelewatan, Anwar berkata, perkara itu berpunca daripada corak kepimpinan yang kurang baik.
Justeru, beliau berharap rakyat di Sabah akan memilih pemimpin yang seiring dengan dasar serta matlamat Kerajaan MADANI pada peringkat Persekutuan. - Bernama