SHAH ALAM - Satu mesej tular dalam aplikasi WhatsApp mendakwa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melepaskan jawatan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berkuat kuasa 1 Oktober ini.
Dalam mesej itu, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu didakwa memaklumkan sudah mengambil pendirian untuk berundur daripada jawatan itu dan menyerahkan kepada barisan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) bagi membincangkan calon pengganti.
Mesej itu antara lain memohon semua ADUN Perikatan Nasional (PN) untuk segera berbincang bagi memutuskan calon Ketua Pembangkang sebagai persiapan Sidang DUN Selangor akan datang.
Dalam mesej itu juga mengucapkan terima kasih kepada semua ADUN yang telah memberikan kerjasama sangat baik dalam tempoh perkhidmatannya.
Bagaimanapun, memetik laporan FMT, Mohamed Azmin menafikan perkara itu dan meminta khabar angin itu dihentikan.
"Tidak benar, saya sentiasa optimistik dan berusaha sedaya upaya. Rakyat mesti dibantu,” kata Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).