'Isu Azmin lepas jawatan Ketua Pembangkang Selangor tak benar' - Noorazley

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Datuk Noorazley Yahya menafikan khabar angin kononnya Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melepaskan jawatan.

Beliau berkata, seluruh ADUN Perikatan Nasional (PN) negeri itu akan terus kekal berkhidmat serta memainkan peranan sebagai semak dan imbang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor demi kepentingan rakyat.

“Isu yang mengatakan Ketua Pembangkang Selangor meletakkan jawatan adalah tidak benar.

“Kami seluruh ADUN PN di Selangor akan terus berkhidmat dan memainkan peranan semak dan imbang di dalam Dewan Negeri Selangor demi kepentingan rakyat,” kata ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurut beliau, Mohamed Azmin adalah figura penting dalam memastikan PN terus teguh serta bersedia mengambil alih tampuk pemerintahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 kelak.

“Saya mendoakan agar Mohamed Azmin sentiasa tabah dalam perjuangan, diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik untuk terus memimpin serta memperjuangkan suara rakyat,” tambah beliau.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan mesej tular dalam aplikasi WhatsApp yang mendakwa Mohamed Azmin melepaskan jawatan Ketua Pembangkang DUN Selangor berkuat kuasa 1 Oktober ini.

Dalam mesej itu, ADUN Hulu Kelang tersebut didakwa memaklumkan bahawa beliau sudah mengambil pendirian untuk berundur daripada jawatan berkenaan dan menyerahkan kepada barisan wakil rakyat PN untuk membincangkan calon pengganti.

Bagaimanapun, Azmin dalam kenyataannya kepada sebuah portal menafikan perkara itu dan meminta khabar angin berkenaan dihentikan.