KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa Barisan Nasional (BN) tidak akan bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Bagaimanapun, Pengerusi BN itu menjelaskan UMNO dan BN telah mengenal pasti jumlah kerusi yang difikirkan sesuai untuk ditandingi.
"Yang pasti kita tidak akan bertanding di seluruh 73 kerusi untuk PRN Sabah ke-17 ini. Tetapi ada jumlah-jumlah kerusi yang kita fikirkan di mana kita akan meletakkan calon berdasarkan kepada kebolehmenangan.
"Saya akan umumkan berapa kerusi yang akan kita muktamadkan. Yang penting kerusi-kerusi ini adalah kerusi yang kebolehmenangannya tinggi dan kita akan kerjasama dengan 'the third force' di negeri Sabah ini untuk menentukan bahawa kerusi-kerusi itu akan memihak kepada calon-calon BN," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan acara Flag Off Skuad Sukarelawan BN Sabah di bangunan UMNO Sabah di sini pada Sabtu.
Mengulas mengenai kemungkinan BN akan bertanding di lebih banyak kerusi berbanding 14 DUN yang dimenangi sebelum ini, Zahid berkata, parti itu pasti akan menambah jumlah kerusi baharu.
"Ya pasti, kerana dulu kita memenangi 14 kerusi dan pasti lebih daripada 14. Jadi selain daripada 14 kerusi yang ada tetapi enam daripadanya melompat.
"Jadi atas daripada 14 itu adalah kerusi-kerusi di kawasan-kawasan DUN yang kita anggap baharu. Tetapi kita yakin kebanyakannya akan memihak kepada BN," katanya.
Mengenai status perbincangan dengan Pakatan Harapan (PH) susulan pengumuman kerjasama menghadapi PRN berkenaan, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa keputusan akhir mengenai kerusi akan dimuktamadkan sepenuhnya selepas pembubaran DUN Sabah.
"Kita telah memuktamadkan perbincangan dengan PH sekurang-kurangnya supaya tidak berlaku pertindihan. Tetapi kita akan juga memutamadkan sepenuhnya apabila pembubaran itu telah rasmi dibuat," katanya.